PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukannya tidak wajar pulang dengan tangan kosong selepas tewas 0-1 dalam aksi sengit menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super, kelmarin.
Katanya, anak buahnya mempamerkan corak permainan berkualiti, mengawal tempo serta mencipta lebih banyak peluang, namun gagal memanfaatkan kesempatan yang terhidang.
“Saya rasa ini perlawanan yang seimbang. Tahniah kepada Selangor kerana meraih tiga mata, tetapi pada pandangan saya, kami tidak layak kalah.
“Kami cipta banyak peluang dan pemain bekerja keras sepanjang 90 minit,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Meskipun merupakan kekalahan ketiga Kuching City dalam kempen liga musim ini, Aidil tetap memuji komitmen pemainnya yang disifatkan semakin menunjukkan kematangan dan peningkatan ketara berbanding musim lalu.
“Dulu kami bukan berada di tahap ini tetapi sekarang kami semakin menghampiri kelompok terbaik.
“Kami akur jika tewas kepada pasukan lebih baik, namun yang penting kami belajar dan terus bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Aidil turut mengakui faktor beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada Selangor, terutama dengan sokongan padu penyokong tuan rumah namun dari sudut kualiti, beliau melihat kedua-dua pasukan berada pada tahap setanding.
“Perbezaannya cuma mereka ambil peluang. Kami berjaya mengekang perancangan mereka, termasuk menyekat pergerakan pemain utama seperti Faisal Halim. Tetapi dalam bola sepak, satu detik boleh mengubah segalanya,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau tidak menyalahkan mana-mana pemain atas kekalahan tersebut, sebaliknya mengambil tanggungjawab penuh sebagai ketua jurulatih.
“Saya yang bertanggungjawab atas keputusan ini. Pemain sudah beri yang terbaik. Kami cuma perlu kurangkan kesilapan dan terus perbaiki diri,” tegasnya. – UTUSAn










