Jangan masuk campur masalah parti lain - Utusan Malaysia

Jangan masuk campur masalah parti lain

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk mana-mana komponen Perikatan Nasional (PN) merujuk atau membawa masalah dalaman masing-ma­sing kepada perhatian parti lain, kerana ia adalah urusan ‘rumah tangga’ yang perlu diselesaikan sendiri.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap parti mempunyai mekanisme, struktur dan kepemimpinan bagi menangani sebarang kemelut tanpa campur tangan pihak luar.

“Dalam masa sama, kita harap pengukuhan dan mencari muafakat lebih baik bagi pe­ngukuhan PN. Kami (Pas) tidak akan campur tangan urusan dalaman parti komponen. Semua parti ada makanisme selesai kemelut yang berlaku.

“Lagi pula, tiada keperluan untuk parti komponen merujuk masalah dalaman mereka. Itu urusan rumah tangga setiap parti dan kami yakin mengukuhkan setiap parti menjadi keutamaan semua komponen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata, pendekatan saling menghormati autonomi parti komponen pen­ting bagi memastikan kerjasama dalam PN kekal stabil dan tidak terganggu oleh isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup.

Beliau berkata, PN mempunyai platform tersendiri untuk membincangkan perkara berbangkit, khususnya melalui Majlis Tertinggi (MT) PN selaku badan utama membuat keputusan.

“PN mempunyai platform tersendiri bagi mencari medan perbincangan. MT PN adalah badan utama yang perlu selesaikan.

“Buat masa ini mesyuarat MT PN perlu disegerakan. Selain itu, Majlis Presiden merupakan badan penasihat kepada PN,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, perjalanan PN di peringkat negeri dilihat berjalan lancar, termasuk pelaksanaan program bersama antara komponen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN