KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dingatkan supaya tidak membesarkan isu kecil dan sensitif hingga boleh merosakkan negara dan menjejaskan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap suka mengheret isu kecil, sensitif atau perkauman boleh menjejaskan tumpuan kepada fokus utama iaitu pembangunan negara
Sedangkan katanya, kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum yang saling menghormati budaya dan agama, sekali gus menjadi asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
“Kita menghormati nilai manusia. Kita tahu budaya dan ketinggian nilai kemanusiaan dan ini yang kita pupuk supaya fokus kita lebih kepada nilai dan kekuatan ekonomi.
“Kadang-kadang di Malaysia ini terlalu banyak diheret isu-isu kecil, (hingga) kita lupa kalau ekonomi tidak kukuh, pelaburan tidak meningkat, tidak ada harapan untuk anak-anak kita dari segi pekerjaan dan mutu pendidikan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Huazong 2026, di sini semalam.
Anwar berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu menolak anasir atau kumpulan individu yang suka membangkit dan memprovokasi isu-isu perkauman.
“Yang nak kacau, timbul masalah, hari-hari marah-marah, adalah kumpulan kecil. Rakyat terbanyak ini mahu negara ini aman, ekonominya maju dan hormat semua budaya dan agama dalam negara ini.
“Kita kadang-kadang terkesan dengan pandangan sekelompok kecil. Ya… boleh (nyata bantahan), tetapi kadang-kadang sangat berlebihan. Sebahagian besar mahukan keamanan, perpaduan, kemakmuran.
“Mahu berjaya, fokus pada isu ekonomi. Fokus kepada kepentingan rakyat,” katanya.
Anwar berkata, perpaduan dan keunikan Malaysia terserlah apabila setiap sambutan perayaan diraikan sebagai acara bersama tanpa mengira kaum dan latar belakang, selain sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat.
Sementara itu Perdana Menteri berkata kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tiada siapa yang boleh mempertikaikan.
Katanya, katika kaum lain boleh mengamalkan agama masing-masing di negara ini apa yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dihormati.
Katanya, ketika bahasa lain seperti bahasa Cina dan Inggeris digalakkan dipelajari atas kepentingan perdagangan, tetapi kedudukan bahasa Melayu perlu dihormati.
Sebab itu dalam isu bahasa, kita ambil keputusan untuk anak-anak kita. Asalkan mereka semua terima kedudukan bahasa Melayu dan perlu tahu sejarah negara, maka belajarlah,” katanya.
Anwar berkata, selain bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina juga penting untuk dipelajari dan dikuasai kerana ia melambangkan bahasa ekonomi yang penting di rantau Asia dan dunia.
Anwar berkata, Malaysia sebagai negara majmuk perlu melengkapkan generasi dengan penguasaan pelbagai bahasa bagi memastikan negara kekal relevan dalam landskap ekonomi antarabangsa.
“Kita sudah puluhan tahun berbahas dan berdebat. Kita ambil keputusan untuk anak-anak kita, asalkan mereka semua terima kedudukan bahasa dan negara di Malaysia, mesti tahu sejarah, selain bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
“Bahasa Cina kini merupakan bahasa ekonomi yang penting di rantau Asia dan dunia. Di banyak universiti di Barat, bahasa Cina menjadi elektif dan bahasa pilihan.
“Adalah satu kerugian kalau Malaysia bukan sahaja tidak memberi ruang untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, tetapi juga tidak mengangkat kedudukan dan mutu penguasaan bahasa Cina sama ada di sekolah, universiti atau pusat pengajian tinggi lain,” katanya.
Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Huazong itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Presiden Huazong, Datuk Lim Kah Chuan serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing. – UTUSAN










