Individu langgar peraturan berkait bahan letupan diambil tindakan

Individu langgar peraturan berkait bahan letupan diambil tindakan

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan berkaitan bahan letupan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, antara peruntukan yang boleh dikenakan adalah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 selain Seksyen 7 akta sama melibatkan kesalahan memiliki, mengawal, menggunakan atau mengendalikan bahan letupan dengan niat membahayakan nyawa atau harta.

Katanya, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 8 melibatkan kesalahan membuat atau memiliki bahan letupan bagi tujuan yang tidak sah di sisi undang-undang.

“Di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, kesalahan memasang bunga api juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, PDRM akan mengawal penjualan dan penggunaan mercun serta bunga api bagi menjamin keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

Jelasnya, PDRM bertanggungjawab mengawal pengimportan, penjualan, penyimpanan serta penggunaan mercun dan bunga api mengikut peruntukan undang-undang.

“Kawalan tersebut dilaksanakan berdasarkan Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Pendekatan pengawalan yang dilaksanakan oleh PDRM adalah atas faktor ketenteraman awam dalam memastikan keselamatan masyarakat diutamakan,” jelasnya.

Mohd. Khalid berkata, langkah kawalan itui bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti yang sering dikaitkan dengan pembakaran mercun secara tidak terkawal.

“Mercun diklasifikasikan sebagai bahan letupan di bawah Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 kerana mengandungi komponen yang boleh meletup atau menghasilkan bunyi, cahaya, asap serta kesan visual tertentu.

“Menerusi Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api iaitu ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh Menteri.

“Kebenaran tersebut masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkaitan serta perlu mematuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN