Ikan mati di Sungai Kinta bukan disebabkan pencemaran - JAS - Utusan Malaysia

Ikan mati di Sungai Kinta bukan disebabkan pencemaran – JAS

TANGKAP layar yang menunjukkan sejumlah ikan mati di Sungai Kinta Surau Al-Ittihad, Kampung Temiang, Ipoh Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penemuan ikan mati di Sungai Kinta berhampiran Surau Al-Ittihad, Kampung Temiang di sini Ahad lalu, bukan berpunca daripada pencemaran air sebaliknya akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melupuskan anak ikan ke dalam sungai tersebut.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya berkata, pasukan penyiasat JAS telah ke lokasi kejadian semalam dan mendapati terdapat sejumlah ikan mati disertai bau busuk, membabitkan ikan tilapia, lampam dan baung.

Katanya, hampir 99 peratus ikan yang mati di lokasi kejadian merupakan anak ikan tilapia bersaiz kecil dengan anggaran berat di bawah 120 gram.

“Turut ditemui ialah ikan lampam dan baung bersaiz kecil. Ketiga-tiga jenis ikan ini dipercayai bukan daripada Sungai Kinta.

“Berdasarkan pemerhatian dan penemuan di lapangan, dipercayai terdapat individu tidak bertanggungjawab yang melupuskan anak ikan bersaiz kecil yang tidak boleh dijual dengan mencampakkannya ke dalam Sungai Kinta,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut JAS, pasukan penyiasat telah menjalankan persampelan kualiti air sungai dengan satu sampel air diambil berhampiran Surau Al-Ittihad sebelum diawet dan dihantar ke Makmal JAS Perak untuk analisis lanjut.

Katanya, JAS kini sedang menunggu keputusan analisis makmal bagi mengesahkan status kualiti air Sungai Kinta selain melakukan pemantauan berkala di lokasi kejadian bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Kejadian ini yang pertama seumpamanya dikesan berlaku di Sungai Kinta.

“Tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya pelanggaran undang-undang alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi satu minit tiga saat yang memaparkan sejumlah ikan mati di Sungai Kinta yang didakwa mula dikesan pada Ahad lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN