PETALING JAYA: Seorang lelaki yang memandu melawan arus di Jalan Klang Lama sehingga tindakannya tular di media sosial dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 oleh mahkamah hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki tempatan itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan menjelaskan denda.
Menurutnya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dari tarikh sabitan dan denda RM6,000 terhadap lelaki itu.
“Kegagalan membayar denda boleh menyebabkan dia dipenjara selama enam bulan selain hilang kelayakan lesen selama lima tahun.
“Individu itu mengaku bersalah dan membayar denda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Media melaporkan pemandu berusia 32 tahun itu ditahan selepas tampil ke pejabat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.35 malam tadi bagi membantu siasatan sebelum ditahan.
Kes itu sebelum ini tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi kira-kira 40 saat yang memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama sejauh kira-kira 500 meter. – UTUSAN










