Lesen perniagaan syarikat kopi, biskut guna berus babi tidak dibatalkan

Lesen perniagaan syarikat kopi, biskut guna berus babi tidak dibatalkan

RAIS Yasin menyampaikan sumbangan barangan elektrik kepada salah seorang penerima di Jalan Portugis, Melaka semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lesen perniagaan syarikat produk kopi dan syarikat biskut yang terpalit isu berus bulu babi baru-baru ini tidak dibatalkan, meskipun Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) ditarik balik oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak menerima sebarang laporan berkait pelanggaran syarat lesen perniagaan.

“Perkara berkaitan halal adalah di bawah bidang kuasa JAIM. Sekiranya terdapat pelanggaran syarat halal, tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

“Di pihak MBMB, tindakan hanya boleh diambil sekiranya wujud pelanggaran syarat lesen perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jalan Portugis di sini, semalam.

Terdahulu, JAIM mengarahkan syarikat terlibat menarik balik semua produk mereka yang berada di pasaran, susulan penarikan SPHM.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, syarikat terlibat ialah Tian Hup Seng Biscuit Factory di Taman Telok Mas dan Heng Loong Coffee di Taman Tanjung Minyak.

Rais berkata, MBMB akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menggantung atau membatalkan lesen perniagaan, sekiranya terdapat aduan atau bukti pelanggaran syarat lesen perniagaan.

“Kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan menyokong tindakan pantas JAIM dalam menjaga kepentingan pengguna Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN