Ibu pelajar A dakwa anak jadi perisai bagi warden

Ibu pelajar A dakwa anak jadi perisai bagi warden

INKUES ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu dimaklumkan bahawa pelajar perempuan yang dikenali sebagai ‘Pelajar A’ dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dilabel sebagai pembunuh di sekolah baharu, sejak berpindah ke situ pada November lalu.

Ibu kepada pelajar itu berkata, anaknya diejek dengan laungan ‘pembunuh’ ketika menaiki pentas untuk menerima hadiah pertamanya di sekolah berke­naan.

“Dia sendiri tidak mendengarnya, namun orang di sekeli­ling memaklumkan perkara itu kepadanya kemudian. Turut kedengaran sorakan mengejek,” katanya memetik laporan media.

Wanita itu merupakan saksi ke-62 inkues kematian Zara Qairina semasa prosiding berlangsung di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang mema­suki hari ke-59.

Pelajar A merupakan antara lima pelajar yang didakwa dalam kes buli melibatkan Zara Qairina.

Anak kepada saksi itu diwa­kili oleh peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.

Dalam pada itu, saksi ke-62 itu memberitahu mahkamah, sepanjang tempoh persekolahan anaknya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, dia mengemukakan 12 aduan kepada pihak sekolah berhubung pelbagai dakwaan termasuk penghinaan, dimarahi secara keterlaluan, kecurian dan vandalisme.

Suri rumah berusia 42 tahun dari Labuan itu berkata, tiada satu pun maklum balas diteri­manya memuaskan hati.

Terdahulu, wanita tersebut mendedahkan, pihak sekolah men­jadikan anaknya seolah-olah sebagai ‘perisai’ warden yang sepatutnya bertanggungja­wab terhadap kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Beliau memberitahu dia tidak dimaklumkan anaknya dibawa ke balai polis beberapa kali susulan insiden tersebut.

Katanya, anaknya diasingkan sejak pagi bermula selepas Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri antara kira-kira pukul 2.50 pagi dan 3 petang, 16 Julai tahun lalu.

“(Anak saya) dibawa ke Balai Polis Papar untuk disoal siasat. Pihak sekolah menjadikan anak saya seolah-olah sebagai perisai bagi warden yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap Zara.

“Semua semakan latar belakang dan penjelasan mengenai tingkah laku Zara diserahkan kepada anak saya untuk dijelaskan kepada polis.

“Ketika memberikan ketera­ngan, anak saya terlepas waktu makan di dewan makan asrama dan berlapar sehingga malam,” katanya.

Saksi turut memberitahu, ke­terangan diberikan oleh bekas pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding, dikenali sebagai Aunty Linah, kepada mah­kamah adalah tidak tepat apabila menyatakan dirinya hadir ke asrama pada malam 17 Julai lalu.

“Saya hanya menghubungi warden, Cikgu Fatimah, untuk bertanya sama ada kami boleh membawa (anak kami keluar) pada malam itu, dan jawapan yang diberikan adalah ‘tidak dibenarkan’,” katanya.

Sebelum itu, dia memaklumkan, anaknya kelihatan kaku dan bukan seperti dirinya yang biasa ketika ditemui sekitar waktu tengah hari bersama suaminya.

Katanya, keluarganya mene­rima tekanan hebat daripada orang awam selepas nama dan butiran peribadi anaknya tular dan dikongsi secara meluas dalam media sosial.

Saksi turut menangis keti­ka menyatakan anaknya terus berdepan kecaman awam, de­ngan sesetengah pihak melabelnya sebagai pembunuh.

Pelajar A, yang juga antara lima kanak-kanak yang dituduh dalam kes dakwaan buli terhadap Zara Qairina, menunjukkan gejala gangguan stres pascatrauma (PTSD) di Klinik Kesihatan Luyang antara 21 dan 24 Julai dan turut diberikan tiga sijil cuti sakit oleh Klinik Kesihatan Labuan pada Julai dan Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN