HRD Corp dalam penambahbaikan, bukan pembersihan – Ramanan

HRD Corp dalam penambahbaikan, bukan pembersihan – Ramanan

R RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan penstrukturan dan penggantungan tugas enam anggota pengurusan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bukan bertujuan melakukan ‘pembersihan’, sebaliknya sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem dan tadbir urus agensi itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sebarang dakwaan salah laku perlu menunggu hasil siasatan sebelum keputusan muktamad dibuat, manakala fokus utama kementerian kini adalah melaksanakan penambahbaikan menyeluruh.

Beliau berkata, agensi tersebut perlu melakukan perubahan susulan pelbagai pertikaian yang timbul sebelum ini, termasuk hasil kajian oleh Jabatan Audit Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu penggantungan ini sama ada melibatkan salah laku atau tidak, kita biar siasatan habis. Buat masa ini kita sedang membuat penambahbaikan. Kalau ada yang mengatakan ini satu pembersihan, itu tidak betul.

“Kita sedang menaik taraf sistem dan memastikan semua mekanisme serta instrumen yang betul diletakkan supaya tiada apa-apa masalah berlaku selepas ini.

“Jadi, untuk memperbetulkan semua ini, kita perlu membuat beberapa perubahan. Dengan penukaran yang akan berlaku, saya yakin akan ada penambahbaikan dari segi tatakelola serta pengoperasian program dan inisiatif di bawah HRD Corp.

“HRD Corp kini dalam proses melengkapkan semula strukturnya dan dijangka siap sepenuhnya sekitar pertengahan atau hujung Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan MYFUTUREJOBS Career Exploration Centre (MYCEC) di sini, hari ini.

Pada 6 Februari lalu, HRD Corp menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kelmarin, agensi itu sekali lagi menggantung tugas tiga lagi anggota pengurusan sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh tadbir urus institusi serta mengekalkan keyakinan pihak industri.

Ketua Eksekutif Shamir Aziz berkata, langkah itu mencerminkan komitmen organisasi untuk meningkatkan standard tadbir urus serta memastikan sumber pembangunan tenaga kerja negara diuruskan secara telus, cekap dan bertanggungjawab.

Menurutnya, penggantungan tugas berkenaan adalah prosedur bagi memelihara kebebasan semakan dalaman yang sedang dijalankan dan tidak bermaksud sebarang kesalahan telah dibuktikan.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, setakat ini beberapa pelantikan telah dibuat membabitkan individu berpengalaman luas dalam sektor korporat dan perkhidmatan awam.

“Setakat ini kita telah membuat beberapa lantikan. Antaranya, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat suruhanjaya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negara.

“Kedua, seorang bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Itulah jenis individu yang akan kita tempatkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pelantikan tidak tertumpu kepada latar belakang tertentu termasuk parti politik.

“Saya tidak mengatakan kita tidak boleh melantik individu daripada parti politik. Jika daripada mana-mana parti sekalipun, sekiranya mereka layak, mampu melaksanakan tugas dengan baik serta mematuhi tatakelola dan kehendak di bawah peraturan-peraturan HRD Corp, itu tidak menjadi masalah.

“Namun, buat masa ini memang tiada pelantikan sedemikian,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini