PETALING JAYA: Harga Minyak Sawit Mentah (MSM) dijangka mengalami fasa konsolidasi atau mendatar dalam julat antara RM4,000 hingga RM4,300 satu tan metrik pada Mac ini.
Unjuran itu didorong oleh faktor pengetatan bekalan jangka pendek, pemulihan permintaan dari India serta sokongan harga minyak soya Amerika Syarikat (AS) yang kekal teguh.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, data terbaharu setakat 24 Februari 2026 menunjukkan pengeluaran minyak sawit Malaysia menyusut secara bermusim kepada 1.58 juta tan pada Januari, turun 13.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Sebaliknya, prestasi eksport mencatatkan pengukuhan sebanyak 11.4 peratus kepada 1.48 juta tan, sekali gus menjadi jumlah eksport bulanan kedua tertinggi dalam tempoh 12 bulan terakhir.
“Peningkatan eksport ini dipacu oleh permintaan yang lebih kuat dari India dan Mesir, di mana penghantaran ke India mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 15 bulan, manakala eksport ke Mesir melonjak ke tahap tertinggi dalam 13 bulan.
“Asas pasaran minyak sawit dijangka bertambah baik secara berperingkat dengan inventori di Malaysia dan Indonesia diunjur menyusut berikutan langkah Indonesia yang mempercepatkan penghantaran sebelum kenaikan levi eksport pada Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dari aspek permintaan global, pengguna di India dijangka beralih semula kepada minyak sawit berikutan daya saing harga yang lebih baik sejak akhir 2025.
Mengulas lanjut, MPOC berkata, penggunaan minyak sawit di India diramal meningkat sebanyak 800,000 tan pada tahun 2026, manakala minyak soya dan bunga matahari dijangka mencatatkan penurunan.
Selain itu, pasaran minyak sayuran global kekal mendapat sokongan daripada keyakinan terhadap dasar biofuel AS dan pemulihan harga minyak mentah Brent yang melonjak 17 peratus sejak awal tahun kepada AS$72 setong ekoran ketegangan geopolitik AS-Iran.
“Minyak soya AS melonjak 17 peratus pada Februari dan kekukuhan harga yang berterusan ini dijangka terus memberi sokongan kepada harga minyak sawit tempatan.
“Bagaimanapun, potensi kenaikan harga mungkin sedikit terhad berikutan peningkatan aktiviti pemprosesan soya di China yang kini telah menjadi pengeksport bersih minyak soya buat kali pertama sejak 2025,” ujarnya.
Walaupun bekalan soya global mencukupi dan eksport minyak soya China meningkat, faktor permintaan India yang kukuh dilihat mampu mengimbangi tekanan harga tersebut bagi mengekalkan kedudukan MSM dalam julat yang stabil. –UTUSAN









