Hamzah masih boleh jadi Ketua Pembangkang - Pas

Hamzah masih boleh jadi Ketua Pembangkang – Pas

Ketua Pembangkang
HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua ahli Parlimen pembangkang termasuk bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada partinya masih boleh dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, setakat ini tiada sebarang ketetapan dibuat sama ada mahu menukar atau mengekalkan kedudukan Hamzah selaku Ketua Pembangkang.

“Semua ahli Parlimen pembangkang boleh jadi Ketua Pembangkang. Setakat ini ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk bekas PN adalah pembangkang.

“Begitu juga dengan Hamzah, beliau masih ahli Parlimen pembangkang dan tidak condong kepada kerajaan. Beliau bertanding atas tiket PN sebelum ini,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Datuk Oie Poh Choon.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Takiyuddin dilihat tokoh paling layak memegang jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu.

Antara kriteria dimiliki Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu adalah, beliau merupakan seorang profesional sebagai pengamal undang-undang, petah berdebat, fasih dengan selok-belok sistem berparlimen dan serba boleh.

Bagaimanapun, pakar menolak pandangan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Radzi Jidin layak menjawat jawatan itu memandangkan Bersatu kini hanya mempunya enam ahli Parlimen menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, berdasarkan amalan, Ketua Pembangkang biasanya disandang oleh pemimpin tertinggi dalam gabu­ngan pembangkang seperti Tan Sri Lim Kit Siang, Allahyarham Datuk Fadzil Noor bahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, mungkin disebabkan faktor­ usia, jawatan Ketua Pembangkang diserahkan kepada Hamzah yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden Bersatu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN