Bersatu bakal hilang pengundi PRU16?

Bersatu bakal hilang pengundi PRU16?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, membuka kembali perbahasan klasik dalam sejarah politik Melayu tentang konflik antara presiden dan timbalan presiden. Episod sebegini bukan perkara baharu.

Sejak dekad 1980an, politik Melayu sering menyaksikan ketegangan di peringkat tertinggi yang akhirnya membentuk semula landskap kuasa negara. Konflik antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam memperlihatkan bagaimana perbezaan pendekatan boleh mencetuskan pergeseran dalaman.

Episod lebih dramatik berlaku pada tahun 1998 apabila Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO. Peristiwa itu bukan sahaja memecahkan UMNO, malah melahirkan gerakan Reformasi yang mengubah politik Malaysia selama puluhan tahun.

Dalam Pas, pertembungan antara Datuk Seri Mohamad Sabu dan Tan Sri Abdul Hadi Awang membawa kepada lahirnya Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam UMNO sekali lagi, konflik Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir dengan pemecatan Muhyiddin dan seterusnya penubuhan Bersatu. Bahkan hubungan tegang antara Anwar dan Datuk Seri Azmin Ali dalam PKR turut mencetuskan perubahan kerajaan pada tahun 2020.

Sejarah menunjukkan satu pola yang konsisten. Apabila timbalan presiden disingkirkan, parti jarang kekal stabil seperti sebelumnya. Pengelompokan dalaman hampir pasti berlaku. Ini secara tidak langsung memberi indikator awal pergolakkan dalaman yang akhirnya merugikan parti.

SEJARAH membuktikan bahawa apabila berlaku perpecahan dalaman, pengundi akan sama ada beralih arah atau mengambil sikap berkecuali.

Krisis Dalaman Bersatu
Dalam konteks Bersatu hari ini, pemecatan Hamzah bukan sekadar soal individu. Beliau mempunyai pengalaman luas, jaringan dalam kalangan ahli Parlimen dan pengaruh di peringkat bahagian. Apabila seorang tokoh kanan disingkirkan, persoalan yang timbul ialah sejauh mana sokongan beliau dalam parti.

Jika penyokong Hamzah melihat pemecatan itu sebagai langkah politik, bukan tindakan disiplin yang tulen, maka wujud potensi pembentukan dua kem. Team Presiden yang setia kepada Muhyiddin dan Team Hamzah yang mungkin merasakan wujud ketidakadilan.

Dalam politik, perpecahan tidak semestinya berlaku secara terbuka. Ia boleh bermula dengan penarikan sokongan secara senyap, jentera yang tidak lagi bergerak sepenuh hati dan komunikasi dalaman yang menjadi hambar.

Lebih merumitkan keadaan ialah wujudnya perbincangan tentang kedudukan presiden sendiri. Apabila muncul suara supaya Muhyiddin memberi laluan, krisis menjadi dua lapis. Parti bukan sahaja berhadapan isu pemecatan timbalan, malah persoalan kesinambungan kepimpinan.

Dalam situasi begini, setiap keputusan akan ditafsir melalui lensa perebutan kuasa. Jika keadaan ini tidak ditangani secara teratur, Bersatu berisiko memasuki fasa perpecahan psikologi. Akar umbi mungkin keliru tentang hala tuju parti. Ketidakpastian ini boleh memberi kesan besar menjelang pilihan raya.

Implikasi terhadap PN
Bersatu merupakan komponen utama dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Pas. Dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, Pas menunjukkan kekuatan organisasi yang konsisten dan disiplin jentera yang tinggi. Dalam keadaan Bersatu bergolak, Pas secara tidak langsung menjadi tulang belakang PN.

Namun situasi ini juga sensitif. Jika Pas terlalu dominan, ia boleh mengubah imbangan kuasa dalam gabungan. Jika Pas mengambil sikap berkecuali, PN mungkin dilihat tidak mempunyai kepimpinan kolektif yang kukuh. Cabaran utama ialah memastikan krisis dalaman Bersatu tidak menjejaskan imej kesatuan PN.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, pengundi tidak hanya menilai manifesto tetapi juga kestabilan kepimpinan. Gabungan yang dilihat berpecah sukar meyakinkan pengundi atas pagar.

Dalam sistem pilihan raya Malaysia yang menyaksikan banyak kerusi dimenangi dengan majoriti tipis, sedikit peralihan undi boleh menentukan kemenangan atau kekalahan.

Persepsi pengundi
Pengundi Melayu yang menjadi teras PN sangat menitikberatkan faktor kepimpinan dan kesatuan. Mereka cenderung menyokong blok yang jelas hierarkinya dan kukuh organisasinya. Sejarah membuktikan bahawa apabila berlaku perpecahan dalaman, pengundi akan sama ada beralih arah atau mengambil sikap berkecuali.

Persepsi bahawa Bersatu sedang melalui krisis boleh memberi kelebihan kepada parti lawan tanpa perlu kempen agresif. Dalam politik moden, naratif media sosial mempercepatkan penyebaran persepsi negatif. Jika isu dalaman berlarutan, ia boleh menjadi liabiliti besar.

Namun, terdapat juga kemungkinan bahawa krisis ini menjadi titik pemulihan. Jika kepimpinan Bersatu berjaya menjelaskan rasional tindakan, mengurus komunikasi dalaman dengan baik dan memperkukuh struktur organisasi, parti boleh keluar lebih kuat. Banyak parti di dunia pernah melalui konflik dalaman sebelum bangkit semula.

Pembaharuan
Apa yang berlaku hari ini mengingatkan kita kepada skrip lama politik Melayu. Presiden dan timbalan berkonflik, pemecatan berlaku, parti berpecah dan lahir penjajaran baharu. Namun sejarah tidak semestinya berulang secara mutlak. Ia bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan dan kematangan ahli.

Bersatu kini berada di persimpangan penting. Jika konflik ini dibiarkan tanpa penyelesaian inklusif, Team A dan Team B hampir pasti terbentuk. Jika ia diurus melalui rundingan, konsensus dan kejelasan hala tuju, parti masih mempunyai ruang untuk pulih.

Bagi PN, ujian ini datang pada waktu kritikal. Gabungan itu perlu memasuki pilihan raya dengan imej kesatuan dan disiplin. Sekiranya Bersatu gagal menstabilkan keadaan, Pas mungkin terpaksa memainkan peranan lebih besar bagi memastikan gabungan kekal relevan.

Namun, tanggungjawab utama tetap terletak pada Bersatu untuk membuktikan bahawa ia mampu mengawal krisisnya sendiri. Akhirnya, politik ialah tentang keyakinan. Pengundi akan memilih blok yang kelihatan paling stabil dan bersedia mentadbir.

Bersatu dan PN mempunyai masa untuk membetulkan keadaan, tetapi masa itu tidak panjang. Sama ada krisis ini menjadi titik mula perpecahan atau titik kebangkitan bergantung kepada keputusan yang dibuat dalam tempoh terdekat.

Sejarah memberi amaran yang jelas. Kini terpulang kepada kepimpinan Bersatu sama ada mahu mengulangi kesilapan lalu atau menulis bab baharu yang lebih matang dalam politik Melayu Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN