PUTRAJAYA: Pengenalan pemberian ganjaran dan perlindungan kepada pemberi maklumat merupakan antara cadangan peruntukan baharu yang akan diperkenalkan di bawah pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada langkah reformasi undang-undang dan institusi dalam memperkasa keupayaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membanteras amalan anti persaingan yang semakin kompleks.
“Akta Persaingan 2010 (Akta 712) sedia ada tidak mempunyai peruntukan khusus berhubung perlindungan kepada pemberi maklumat. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) pula tidak terpakai kepada penguatkuasaan MyCC kerana tindakan di bawah Akta Persaingan adalah bersifat sivil, manakala Akta 711 hanya meliputi pendedahan berkaitan kesalahan tata tertib dan jenayah.
“Sehubungan itu, cadangan ini akan memberi kuasa secara langsung kepada MyCC untuk melindungi pemberi maklumat. Ini termasuk menjamin kerahsiaan identiti serta apa-apa maklumat yang boleh membawa kepada pendedahan identiti tersebut, sama ada dalam prosiding MyCC, Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) atau mana-mana prosiding sivil dan jenayah di bawah Akta 712 ini,” katanya.
Armizan berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) antara MyCC bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut dihadiri Menteri KBS, Dr. Mohammed Taufiq Johari di sini hari ini.
Armizan berkata, selaras dengan perlindungan yang diberikan, cadangan pemberian ganjaran pula memperuntukkan kuasa kepada MyCC untuk menawarkan ganjaran kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat, bantuan atau mengemukakan pertanyaan sehingga membawa kepada penemuan pelanggaran atau pensabitan kesalahan di bawah Akta 712.
“Pendekatan ini dijangka menarik kerjasama yang lebih proaktif daripada orang awam dan pihak industri, khususnya dalam membongkarkan kegiatan kartel tipuan bida dan monopoli bermasalah yang semakin kompleks,” ujarnya.
Tambahnya, pindaan terhadap Akta Persaingan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan di Parlimen selepas dipersetujui Kabinet. – UTUSAN










