Indeks Perpaduan Nasional terhadap Kedah tolol - Sanusi

Indeks Perpaduan Nasional terhadap Kedah tolol – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak dapatan Indeks Perpaduan Nasional 2025 yang mentakrifkan Kedah sebagai negeri tercorot dengan skor 0.593.

Beliau berkata, kajian tersebut tidak realistik serta tidak menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur sabotaj yang cuba menggambarkan imej buruk negeri Kedah kepada pelabur.

Menurut Muhammad Sanusi, pencapaian pelaburan yang mana Kedah mencatatkan pelaburan antara tiga negeri tertinggi sejak 2020 dan menjadi yang tertinggi dalam sektor pembuatan jelas mencerminkan kestabilan serta keharmonian negeri.

“Kita ada ada komposisi kaum yang hampir menyamai komposisi kaum di peringkat nasional. Kita ada Cina 22 peratus, India tujuh peratus, Orang Asli dan lain-lain satu peratus serta komuniti Siam terbesar di Malaysia ada di Kedah. 

“Kita tak pernah berkelahi, kita konservatif dalam agama, dalam keadaan hidup itulah kita hormati amalan agama lain. Saya rasa kajian itu kena dinilai semula dan saya namakan kajian itu tolol,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Pencapaian Pelan Strategik The Greater Kedah, hari ini.

Beliau mengulas laporan Kementerian Perpaduan Negara yang dikeluarkan, semalam menyaksikan Kedah merekodkan skor terendah iaitu 0.593, jauh di bawah purata nasional 0.701.

Selain Kedah, enam negeri dan Wilayah Persekutuan lain yang mencatat skor di bawah purata nasional ialah Perak (0.648), Kelantan (0.654), Kuala Lumpur (0.659), Selangor (0.675), Pulau Pinang (0.692) dan Putrajaya (0.693).

Muhammad Sanusi berkata, pihak yang meragui tahap keharmonian di Kedah perlu datang dan melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Datanglah duduk di Kedah, tengok sendiri bagaimana kami menguruskan kehidupan yang harmoni dan bersatu padu antara semua kaum yang ada di sini, Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli dan lain-lain, semua baik-baik saja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN