LOS ANGELES: Baru sahaja beberapa hari Anugerah Grammy ke-68 melabuhkan tirai, timbul pula khabar angin yang mencetuskan spekulasi mengenai hubungan dua penyanyi lagu APT, Bruno Mars dan Rosé.
Kontroversi itu bertebaran selepas lagu berkenaan gagal membawa pulang sebarang trofi walaupun dicalonkan dalam tiga kategori.
Situasi tersebut mencetuskan pelbagai andaian apabila segelintir peminat mendakwa Mars tidak lagi mengikuti Rosé di media sosial, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap hubungan profesional serta persahabatan antara dua bintang berprofil tinggi itu.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan pantas disangkal oleh sebahagian peminat lain yang menjelaskan bahawa penyanyi lagu Talking to the Moon itu sebenarnya tidak pernah mengikuti Rosé sebelum ini.
Perkara tersebut turut mengundang reaksi bercampur-baur dalam kalangan peminat di media sosial apabila rata-ratanya berkongsi semula video persembahan pembukaan mereka di pentas Grammy, selain mencetuskan tanggapan kononnya Mars kelihatan kurang ceria ketika menyampaikan lagu tersebut.
Malah, semasa persembahan berkenaan, Rosé secara spontan mencium pipi Mars, satu tindakan yang dianggap berani jika dibandingkan dengan norma konservatif yang sering dikaitkan dengan idola K-pop.
Namun begitu, sebelum ini, kedua-dua penyanyi terbabit dilihat memuat naik gambar menikmati pizza bersama selepas persembahan di laman media sosial masing-masing, seolah-olah menepis segala spekulasi yang berlegar.
“Serahkan kepada saya dan Big Bad Rosie kalau bab menikmati pizza selepas persembahan. Terima kasih kepada pihak Grammy kerana memberi kami peluang untuk berseronok. Tahniah kepada semua pemenang,” tulis Mars dalam kapsyen gambar berkenaan. – UTUSAN










