PETALING JAYA: Penanda aras pasaran saham tempatan, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), berpotensi meningkat sehingga 1,820 mata menjelang akhir tahun ini, disokong faktor penilaian yang menarik serta jangkaan kemasukan semula pelabur asing ke Bursa Malaysia.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pasaran ekuiti tempatan kini berada pada fasa yang kondusif untuk pemulihan selepas melalui tempoh trend menurun yang berpanjangan.
“Saya menjangkakan FBM KLCI boleh mencapai paras 1,820 mata menjelang akhir 2026 kerana sudah terlalu lama Bursa Malaysia berada dalam trend menurun. Hampir semua kaunter kini diniagakan pada paras harga yang sangat rendah dan menarik dari sudut penilaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pelabur asing mula meningkatkan pendedahan mereka ke pasaran Malaysia awal tahun ini, selari dengan strategi pelaburan global yang memfokuskan kepada pasaran yang menawarkan nilai pada harga rendah.
“Pelabur asing sememangnya menunggu kaunter-kaunter berkaitan indeks berada pada harga yang rendah sebelum kembali masuk ke pasaran. Keadaan ini kelihatan semakin jelas di Bursa Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata, sektor-sektor utama yang mempunyai wajaran besar dalam FBM KLCI dijangka menjadi tumpuan utama aliran masuk dana asing.
“Sektor kewangan dan perbankan akan terus menjadi pemacu utama, di samping sektor teknologi yang dilihat semakin relevan dalam persekitaran ekonomi digital dan rantaian bekalan global.
“Dengan sokongan asas ekonomi domestik yang semakin kukuh, kestabilan pasaran kewangan serta penilaian saham yang masih menarik berbanding pasaran serantau, pasaran saham tempatan berada pada landasan yang baik untuk mencatat pertumbuhan yang lebih mampan dalam tempoh sederhana,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis RHB Research, Alexander Chia berkata, prospek pasaran ekuiti tempatan terus bertambah baik apabila sasaran FBM KLCI akhir 2026 dinaikkan kepada 1,780 mata, susulan pemulihan selera risiko pelabur, pengukuhan nilai ringgit serta aliran masuk portfolio asing yang semakin kukuh ke dalam Bursa Malaysia.
Katanya, penanda aras utama pasaran itu sebelum ini telah mencatat paras puncak intra-tahun pada 1,771.25 mata, meningkat 5.4 peratus setakat tahun ini (YTD), didorong terutamanya oleh lonjakan dalam sektor perkhidmatan kewangan apabila pelabur kembali mengambil risiko dalam persekitaran pasaran yang lebih kondusif.
“Kemasukan semula dana asing dilihat semakin ketara tahun ini, berikutan prestasi Bursa Malaysia yang sebelum ini ketinggalan berbanding pasaran serantau.
“Kenaikan ringgit dan dolar juga turut menjadi pemangkin utama kepada prestasi indeks FBM KLCI di samping asas ekonomi domestik yang kukuh dan kemajuan berterusan usaha reformasi struktur.
“Malaysia kini semakin menonjol dalam kalangan ekonomi pasaran memuncul di rantau ini, disokong oleh kecairan pasaran yang mudah dan pertumbuhan pasaran yang lebih pantas daripada jangkaan, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur institusi,” katanya.
Tambahnya, musim laporan prestasi pada suku akhir 2025 dijangka menepati jangkaan, disokong oleh keadaan makroekonomi tempatan yang kukuh serta pengukuhan berterusan ringgit pada suku keempat 2025.
Katanya, pertumbuhan perolehan berwajar bagi 2025 dijangkakan kekal positif pada +2.5 peratus.
“Walau bagaimanapun, prestasi sektor minyak dan gas serta telekomunikasi dijangka lebih sederhana, dipengaruhi harga minyak mentah yang lebih rendah dan pelarasan kewangan berkaitan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A).
“Pada 2026, pasaran dagangan dijangka memerlukan pendekatan pemilihan saham yang tangkas dan berdisiplin, dengan tumpuan beralih kepada saham ketinggalan, bermodal sederhana dan kecil,” katanya. – UTUSAN










