KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpulkan sebanyak RM54,692 pada hari pertama larian amal sejauh 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar.
Larian amal yang selama empat hari itu bermula di Istana Kehakiman, Putrajaya semalam dan dijadual berakhir di Muar.
Program berkenaan bertujuan mengumpul dana bagi membantu pelajar serta keluarga yang memerlukan di Parlimen Muar selain sebagai tanda kesyukuran selepas beliau berjaya membersihkan namanya susulan kes mahkamah dihadapinya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu meluahkan rasa terharu dengan sambutan orang ramai yang hadir memberikan sokongan sepanjang laluan dari Putrajaya ke Salak Tinggi sebelum disambut lebih ramai penyokong di Labu, Negeri Sembilan.
“Sepanjang perjalanan dari Putrajaya ke Salak Tinggi, ramai yang menunggu di tepi jalan untuk memberi semangat, bersalaman dan mendoakan kami.
“Apabila tiba di Labu, saya langsung tidak menyangka masih ramai yang menunggu walaupun hari sudah malam. Mungkin saya yang berlari, tetapi perjalanan ini digerakkan oleh sokongan semua,” katanya menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial akaun beliau.
Larian amal itu diadakan selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan rasuah, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang yang dihadapinya selama enam tahun.
Beliau berkata, dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membeli iPad kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi selain menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan di kawasan Parlimen Muar.
“Di sinilah saya memperoleh semula maruah dan integriti serta membersihkan nama selepas enam tahun memperjuangkan keadilan.
“Dana yang dikumpulkan menerusi larian ini akan digunakan untuk membeli iPad kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian tinggi selain membantu golongan memerlukan dengan sumbangan bakul makanan,” katanya.
Syed Saddiq turut mengajak orang ramai terus menyumbang menerusi platform kutipan dana rasmi bagi membantu mencapai sasaran RM200,000 sebelum larian berakhir di Muar.-UTUSAN










