PETALING JAYA: Penerbit dan pelakon, Erma Fatima memberi bayangan akan kembali mengarah apabila berkongsi dalam media sosial beberapa foto di set penggambaran.
Erma atau Fatimah Rahmad Ali menerusi Instagram memuat naik gambar sebuah projek kerjasama Malaysia dan Indonesia anpa memperincikan tentang naskhah tersebut.
“Lama tak rasa macam ini (begini),” katanya.
Kelihatan dalam foto berkenaan adalah Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah dan Anna Jobling.
Turut kelihatan adalah bintang Indonesia, Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg dan Valentino.
Erma memaklumkan, untuk projek istimewa tersebut, dia sekadar melepaskan rindu kepada dunia pengarahan.
“Lepas gian selepas 10 tahun tak direct (mengarah). Saja suka-suka, setakat ini tak tahu lagi mana nak tayang,” katanya.
Untuk rekod, pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 itu kali terakhir mengarah telefilem menerusi Pesan Dari Tuhan yang diangkat sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2017.










