Didie Alias kota janji, sempat jaga Andre Mikhail di hospital - Utusan Malaysia

Didie Alias kota janji, sempat jaga Andre Mikhail di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KELANG: Terkesan dengan pemergian Andre Mikhail, pelakon dan pengacara, Didie Alias, 54, bagaimanapun lega kerana berpeluang mengotakan janji untuk menjaga arwah sebelum anak sulung Amyza Aznan itu meninggal dunia, semalam.

Kata Didie, dia juga bersyukur kerana berada disamping Amyza ketika sahabat baiknya itu melalui detik-detik sukar kehilangan anak tersayang yang dijemput Illahi akibat kanser.

“Saya tidak berada di Kuala Lumpur sepanjang satu minggu arwah dimasukkan ke hospital. Jadi saya banyak berkomunikasi dengan Amyza menerusi telefon, bagi dia semangat kerana mental dia terkesan disebabkan keadaan anaknya yang semakin merosot.

“Saya sudah berkawan lama dengan Amyza. Jadi saya rasa tidak sedap hati kerana tidak berada di sisinya ketika dia berada dalam fasa sukar. Tidur saya juga tidak lena mengenangkan keadaan dia dan anaknya.

“Jadi saya megambil keputusan untuk tinggalkan urusan dan pergi ke hospital untuk menemani Amyza. Saya peluk dan tenangkan dia, bagi dia semangat kerana ujian yang dihadapinya bertimpa-timpa.

“Dalam keluarganya, dialah yang menguruskan semuanya. Lepas itu dia diuji dengan anak kedua yang disahkan menghidap kanser tulang, selain suaminya juga sedang bergelut dengan penyakit buah pinggang.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana mengotakan janji untuk menjaga arwah anaknya, dan berada di samping Amyza ketika dia diuji dugaan ini,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini.

Allahyarham Andre Mikhail yang meninggal dunia pada pukul 10.15 malam semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) , selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.

Allahyarham yang melawan kanser paru-paru sejak satu tahun lalu dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al Khairiah AU3.

Menceritakan detik pemergian arwah, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd @ Ali memaklumkan Andre menemui pencipta ketika Amyza pulang ke rumah untuk membersihkan diri selepas dua hari tidak berbuat demikian kerana menjaga anak di hospital.

“Dia minta saya tengokkan arwah. Saya sebenarnya mahu minta dia jangan tinggalkan arwah, kalau boleh saya mahu dia kekal bersama arwah ketika itu kerana saya dapat merasakan yang arwah hanya menunggu masa untuk pergi. Tapi entah kenapa mulut saya berat untuk berkata demikian kepada Amyza.

“Sebelum arwah meninggal dunia, saya berbuka puasa di sekitar hospital. Kemudian saya minta suami Amyza naik ke wad untuk tengokkan keadaan arwah. Ketika saya pula naik ke wad, kebetulan arwah nazak. Dia kemudian meninggal dunia pukul 10.15 malam.

“Amyza sebenarnya sukar melepaskan anaknya. Dan dia memang benar-benar mahu bawa anaknya keluar hospital. Tapi saya halang sebab saya tahu Andre hanya menunggu masa untuk pergi.

“Jadi mungkin ada hikmahnya kenapa arwah pergi ketika Amyza tidak bersamanya. Kerana arwah terlalu menyayangi Amyza, dia enggan melihat ibunya sakit kerana pemergiannya,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN