Dakwaan padang awam diswastakan tidak tepat – Zairil

Dakwaan padang awam diswastakan tidak tepat – Zairil

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menafikan dakwaan bahawa tanah taman awam di Seri Tanjung Pinang, Tanjong Tokong di sini telah diletakkan di bawah pengurusan sebuah sekolah antarabangsa swasta sehingga menjejaskan akses orang awam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, dakwaan berhubung penswastaan padang awam tersebut adalah tidak tepat dan ia timbul akibat salah faham serta persepsi yang diputar belit oleh pihak tertentu.

“Kawasan yang terlibat hanyalah sebuah padang bola sepak sedia ada yang sebelum ini diselenggarakan secara asas oleh pihak berkuasa tempatan termasuk melalui pemotongan rumput dan pembaikan kemudahan secara berkala.

“Ini bukan penswastaan. Sekolah hanya diberikan penggunaan eksklusif semasa waktu persekolahan sahaja manakala selepas waktu sekolah, hujung minggu dan cuti sekolah, padang tersebut kekal dibuka kepada orang awam,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Difahamkan, satu protes awam akan diadakan di Seri Tanjung Pinang Khamis ini bagi membantah keputusan kerajaan negeri yang didakwa membenarkan tanah taman awam diletakkan di bawah pengurusan sebuah sekolah antarabangsa swasta.

Dalam pada itu, Zairil berkata, kerajaan negeri melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) telah memeterai perjanjian dengan pihak sekolah antarabangsa itu bagi menaik taraf dan menyelenggara padang tersebut tanpa melibatkan kos kerajaan.

“Pihak sekolah telah membelanjakan kira-kira RM450,000 bagi kerja naik taraf termasuk penambahbaikan permukaan padang, tiang gol, pencahayaan, landskap serta pemasangan pagar keselamatan.

“Sebagai balasan kepada pelaburan itu pula, pihak sekolah hanya dibenarkan menggunakan padang sepanjang waktu persekolahan sahaja. Selagi mereka menyelenggara padang tersebut, perjanjian ini akan diteruskan dan kerajaan negeri berhak mengambil semula pengurusan sepenuhnya jika penyelenggaraan dihentikan.

Katanya, penggunaan padang oleh komuniti setempat lazimnya berlaku pada waktu petang dan malam, sekali gus tidak menjejaskan aktiviti rekreasi penduduk dan kemudahan lain di kawasan taman berkenaan termasuk taman permainan dan ruang awam lain juga tidak akan dipagarkan atau dihadkan penggunaannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN