KUALA LUMPUR: Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 merupakan hasil reformasi kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan kewangan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara usaha dilaksanakan termasuk pengenalan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 bagi memperluas skop pengauditan serta penambahbaikan kerangka perolehan kerajaan.
“Negara kini berada di kedudukan ke-54 (berbanding 57 tahun lalu) dengan menaiki tiga anak tangga berbanding tahun sebelumnya sekaligus menempatkan Malaysia dalam kelompok negara yang menunjukkan momentum pembaharuan positif.
“Peningkatan ini bukanlah suatu kebetulan, tetapi hasil daripada langkah reformasi struktur yang dilaksanakan secara konsisten oleh Kerajaan Madani dalam memperkukuh akauntabiliti fiskal dan tadbir urus awam,” katanya ketika membentangkan usul berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, pindaan terhadap Akta Audit 1957 turut memperluas bidang kuasa Ketua Audit Negara termasuk melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Katanya, langkah itu penting bagi memperkukuh pemantauan, menutup ruang ketirisan serta memastikan pengurusan dana awam dilaksanakan secara lebih telus dan berakauntabiliti.
“Kesemua langkah ini membuktikan bahawa peningkatan CPI bukan sekadar perubahan persepsi, tetapi cerminan terhadap reformasi sistemik yang sedang berjalan.
“Ia menunjukkan bahawa pendekatan keterbukaan, ketelusan, dan keberanian untuk membenarkan penelitian awam, termasuk melalui perbahasan LKAN, memberikan hasil yang nyata,” katanya. – UTUSAN











