KUALA PILAH: Di sebalik kehijauan hutan sekelilingnya, Jalan Bukit Putus bukanlah hanya laluan lama yang ditinggalkan arus pembangunan.
Ia sebenarnya jalur sejarah yang pernah menjadi nadi perhubungan penting di antara Seremban dan kawasan timur Negeri Sembilan khususnya Kuala Pilah.
Namun kemunculan jalan baharu yang dibuka pada tahun 2009 dengan reka bentuk lebih selamat dan selesa telah mengubah segalanya. Jalan lama itu perlahan-lahan kehilangan fungsi asalnya.
Deruan kenderaan yang pernah memenuhi setiap selekoh kini diganti sunyi, hanya sesekali dipecahkan oleh kenderaan pendaki yang mahu mencabar puncak Gunung Angsi selain pengguna yang mahu mengelak kesesakan di jalan baharu itu.
Kesunyian itu bagaimanapun tidak melenyapkan segala kisah yang ada pada jalan lama Bukit Putus sepanjang tujuh kilometer itu.
Kisah sejarah dan kemalangan tragis terus hidup dalam ingatan penduduk setempat, tidak kurang kisah-kisah mistik yang diceritakan.
SEJARAH BUKIT PUTUS
Bekas Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsudin Ahmad, 60, berkata, jalan lama Bukit Putus tersebut telah wujud sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu.
Menurutnya, laluan itu pada asalnya hanyalah denai yang digunakan penduduk tempatan untuk berjalan kaki merentasi kawasan berbukit dari Luak Terachi ke Sungei Ujong yang kini dikenali sebagai Seremban.
”Nama Bukit Putus diambil kerana bukit itu terpaksa ditarah dan dipotong untuk membolehkan laluan bersambung antara satu kawasan dengan kawasan lain.
“Sebab itulah ia dipanggil ’Bukit Putus’ kerana bukit itu diputuskan atau dipotong,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Seri Menanti di sini.
Tambahnya, laluan tersebut juga menjadi sempadan adat antara beberapa luak di Negeri Sembilan termasuk Luak Terachi dan Sungei Ujong.
Jalan itu malah pernah digunakan oleh cendekiawan Melayu terkenal, Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba untuk bertemu dengan keluarganya di Ulu Bendul sebelum pulang ke Jempol.
Menurut Shamsudin, laluan tersebut diturap selepas British memasuki Tanah Melayu pada abad ke-19 bagi memudahkan pergerakan pentadbiran dan ketenteraan khususnya bagi menghubungkan kawasan pedalaman seperti Seri Menanti dengan Seremban.
”Ketika membuat kajian di sekitar kawasan ini, saya pernah menemui tapak dipercayai rumah rehat British di atas Bukit Putus yang boleh boleh nampak pemandangan luas menghala ke arah Seremban,” katanya.
Katanya, jalan itu mungkin tidak lagi sesibuk dahulu namun maknanya kepada Negeri Sembilan tidak pernah pudar selagi kisahnya terus diceritakan dan sejarahnya terus dihargai.
PERANG BUKIT PUTUS 1875
Jalan lama tersebut turut menjadi saksi pertempuran penting antara pemerintah Negeri Sembilan dan pihak British menerusi Perang Bukit Putus pada tahun 1875.
Perang tersebut tercetus susulan penentangan Yamtuan Antah yang pada ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan keenam terhadap campur tangan British di Sungei Ujong serta usaha mereka bagi meluaskan pengaruh ke kawasan Seri Menanti.
Shamsudin berkata, British ingin memperkukuh kedudukan mereka di Sungei Ujong sebelum bergerak ke Seri Menanti namun ia mendapat tentangan hebat daripada Yamtuan Antah.
”Bukit Putus menjadi lokasi strategik kerana ia merupakan laluan utama dari Sungei Ujong ke Seri Menanti. Pertempuran berlaku di situ dan akhirnya British berjaya menewaskan pasukan tentera Yamtuan Antah,” katanya.
CUBAAN BUNUH TUANKU ABDUL RAHMAN
Selain itu, di jalan lama Bukit Putus ini turut menyaksikan peristiwa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-8, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad hampir dibunuh pasukan komunis ketika dalam perjalanan dari Seri Menanti ke Seremban.
Kurator Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Mohd. Khairil Hisham Mohd. Ashaari berkata, menurut perkongsian lisan, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar tahun 1950-an ketika ancaman komunis masih memuncak di Tanah Melayu.
Menurutnya, ketika kejadian, baginda dikatakan dalam perjalanan menaiki kereta bersama pemandunya sebelum kenderaan mereka ditahan oleh kira-kira tiga hingga empat orang komunis di pertengahan jalan tersebut pada waktu petang.
“Senapang telah diacukan di kepala Tuanku dan ketika picu telah ditarik, senjata itu gagal berfungsi. Mereka (pasukan komunis) terkejut lalu terus melarikan diri manakala Tuanku dan pemandunya terselamat,” katanya.
SARAT KISAH MISTIK
Seperti di tempat bersejarah lain, Jalan Bukit Putus turut tidak terkecuali mempunyai kisah-kisah misteri dan legenda yang sering diceritakan.
Shamsudin berkata, antara cerita popular yang sering dikisahkan penduduk dan pengguna jalan raya ialah van jenazah yang muncul secara tiba-tiba dan harimau jadian.
“Ada juga cerita pengguna jalan ini yang tiba-tiba terserempak dengan van jenazah yang tiba-tiba muncul ketika melalui selekoh. Cerita-cerita ini memang kuat dalam ingatan orang kampung,” katanya.
Menurutnya lagi, antara lokasi yang sering menjadi sebutan adalah selekoh ganjil dan dua selekoh terakhir berhampiran sungai di laluan lama tersebut.
“Orang dahulu percaya sungai itu tempat ‘buang penyakit’. Kalau berubat secara tradisional, penyakit kononnya dipindahkan ke dalam kelapa melalui jampi dan kelapa itu dihanyutkan ke sungai.
“Itu kepercayaan orang lama. Saya tidak pernah melihat sendiri tetapi cerita seperti itulah yang menjadikan suasana di situ terasa lain,” jelasnya.
44 selekoh tajam
Sementara itu, seorang pemandu teksi, Tengku Anuar Tengku Rashid, 68, berkata, Jalan Bukit Putus yang berliku-liku itu telah menyimpan pelbagai kenangan buat dirinya.
Menurutnya, dia kadangkala akan menggunakan laluan tersebut pada waktu siang sekiranya berasa ’rindu’ kenangan masa mudanya yang menaiki bas untuk ke Seremban.
”Saya sampai sudah hafal setiap selekoh, di mana ada lubang, di mana boleh memotong dan mana tidak boleh. Dulu ada 44 selekoh dari bawah sampai habis menurun dan kesemuanya tajam,” katanya.
Tengku Anuar berkata, sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an, laluan tersebut juga sering berlaku kemalangan termasuk membabitkan bas dan lori yang terjunam ke dalam gaung berikutan keadaan jalan sempit serta selekoh tajam.
Jalan lama Bukit Putus juga pernah dipaparkan menerusi babak dalam filem Tunang Tok Dukun arahan Allahyarham Datuk S. Roomai Noor yang diterbitkan pada tahun 1960.
TARIKAN PELANCONGAN
Di sebalik kesunyiannya, terdapat beberapa buah premis perniagaan inap desa, restoran dan aktiviti pertanian yang diusahakan di situ sekali gus menjadi tarikan pelancong dan pengunjung.
Pengurus Kewangan Kampung JKIN Extreme Park, Norasyikin Nordin, 49, berkata, meski tidak lagi sesibuk dahulu, laluan itu tetap mempunyai peminat tersendiri khususnya dalam kalangan pencinta ekopelancongan.
Menurutnya, walaupun jalan lama Bukit Putus sering dimomokkan sebagai antara jalan ’seram’, operasi perniagaan mereka tidak terjejas meskipun premis itu mula beroperasi pada 2017 iaitu ketika laluan tersebut sudah menjadi laluan alternatif.
Menurutnya, pusat rekreasi itu beroperasi sehingga pukul 3 pagi dan turut menerima kunjungan pelancong asing dari China, Denmark dan England dalam kumpulan kecil.
PEMBUANGAN SAMPAH
Isu cerun runtuh dan pembuangan sampah haram antara masalah utama yang membelenggu kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.
Tinjauan baru-baru ini mendapati, antara sampah yang dibuang termasuklah tayar dan perabot yang sudah rosak selain sisa makanan sehingga mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
Selain itu, terdapat juga beberapa cerun di sekitar kawasan itu yang runtuh, sekali gus bimbang akan menjejaskan keselamatan pengguna jalan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Pilah 2035, kawasan jalan lama Bukit Putus itu telah dikenal pasti dalam perancangan pembangunan pelancongan.
”Dalam dokumen ini memang ada nyatakan kawasan jalan ini dalam perancangan pembangunan aktiviti pelancongan.
“Namun, pelaksanaanya masih belum dimulakan kerana menunggu anggaran kos dan dana,” katanya.-MINGGUAN










