Bukan merosakkan, tetapi mewarnakan irama tradisional - Utusan Malaysia

Bukan merosakkan, tetapi mewarnakan irama tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENIS muzik yang wujud pada zaman sekarang tidak mampu membenamkan kekuatan genre irama tradisional yang wujud di negara ini sejak berkurun dahulu.

Muzik tradisional tetap menjadi irama berlainan yang identitinya tidak boleh disamakan dengan muzik yang lain. Namun, sehebat manapun muzik tradisional itu, jika tidak diperkasa,  lama kelamaan pasti hilang ditelan zaman.

Bercakap soal memperkasakan genre muzik yang diwarisi turun temurun itu, pelbagai cara dibuat komposer masa kini bagi memastikan irama tradisional kekal diraikan. 

Contoh penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar, Aisha Retno yang mencipta Kesuma, sebuah lagu tradisional moden yang diperindahkan dengan vokal emas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. 

Dalam ramai yang memberikan puji-pujian, wujud segelintir yang memandang negatif penghasilan Kesuma sehinggakan usaha Aisha itu dianggap sebagai satu kerja yang hanya merosakkan irama tradisional. 

Isu tersebut mencuri tumpuan ramai pencipta lagu tempatan. 

Penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu tradisional moden, Wany Hasrita pula mempunyai sisi pandang yang berbeza mengenai hal tersebut. 

“Tentulah kita sangat hargai irama tradisional. Genre ini ada sentuhan tersendiri dan kita mahu ia hidup, didengari dan diikuti semua golongan serta terus berkumandang dalam radio.

“Tapi untuk membolehkan perkara itu tercapai, memang tidak ada cara lain selain menyuntik elemen fusion untuk memodenkan irama ini supaya ia diikuti golongan muda kerana mereka inilah yang akan memastikan kesinambungan muzik tradisional.

“Jadi pada saya, tiada istilah kita merosakkan lagu tradisional apabila ianya digabungkan dengan elemen moden. 

“Istilah lebih tepat pada saya adalah mewarnakan lagi genre tersebut dengan matlamat untuk menarik minat semua golongan terhadapnya,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Wany, irama tradisional yang tidak dimodenkan juga tidak akan mati kerana adanya golongan-golongan tertentu yang memperjuangkannya sampai ke hari ini.

“Kita ada kelompok pemuzik dan penyanyi yang pada hari ini masih melahirkan dan menyanyikan karya-karya muzik tradisional baru dan lama. Antaranya penyanyi, Hazra Dollah dan ramai lagi,” kongsinya.

LEMBAYUNG TARI

Wany baru-baru muncul dengan single baharu, Lembayung Tari, sebuah karya tradisional yang disuntik elemen fusion sentuhan Hael Husaini dan Iqie Hugh. Lagu tersebut yang menelan kos penghasilan kira-kira RM 60,000, menjadi single penuh bermakna buat Wany yang sudah sedekad bergelar penyanyi.

“Lembayung Tari ini cukup sentimental buat saya kerana saya korbankan simpanan semata-mata untuk lagu ini. 

“Menerusinya, selain mahu merancakkan lagi irama tradisional dalam industri muzik kita, saya juga berharap lagu ini menjadi satu pembuktian yang saya masih lagi ada dalam dunia seni tanah air,” kongsinya.

Bercerita lanjut, Wany memaklumkan penceritaan lagu berkenaan berhubung kait dengan kepercayaan masyarakat Melayu terhadap kewujudan bunian.

“Pada awalnya saya juga tidak faham penceritaan lagu ini sehinggalah komposernya sendiri memaklumkan ianya tentang makhluk bunian yang gemar menari dan turun ke bumi ketika senja.

“Ketika diperdengarkan demo lagu ini pada Oktober tahun lepas, saya terus tertarik meskipun ketika itu ia belum siap sepenuhnya,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN