KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, tersentuh apabila anak sulungnya, Ahamad Ayden Adrean, 9, menghubunginya untuk menemaninya ke sekolah.
Jelas Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astilla, 32, hatinya luluh kerana ini kali pertama Ayden membuat permintaan ringkas yang menuntut perhatiannya.
“Ayden buat panggilan video dan tanya, ‘Mummy, esok buat apa?’. Bila saya beritahu yang saya ada penggambaran, dia terus merayu.
“Katanya, ‘Alah, saya nak mummy hantar saya ke sekolah. Dah lama mami tak hantar,”kongsi Bella.
Bella ditemui semasa majlis pelancaran lagu terbaharu Bella Astillah bersama Fipper, Ya Raya, di sini pada Khamis.
Menurut Bella, kata-kata anaknya menyedarkannya yang sibuk dengan urusan kerjaya sehingga terlepas momen kecil bersama anak-anak.
Oleh itu, Bella tekad memenuhi permintaan tersebut walaupun sedar dia terikat dengan komitmen penggambaran bersama jenama selipar terkenal, Fipper, yang bermula seawal jam 7 pagi di Janda Baik.
“Masa itu Bella terus menangis. Bella terus hubungi pengurus, Nisa, dan tanya kalau ada kemungkinan untuk datang lewat sedikit ke lokasi. Bella jelaskan yang Ayden sangat berharap saya dapat hantar ke sekolah.
“Alhamdulillah, pihak produksi Fipper sangat memahami. Walaupun mereka terpaksa menunggu Bella selama dua jam, Bella sangat bersyukur kerana dapat hantar Ayden sampai ke dalam kelas.
“Ia adalah satu momen yang tidak akan Bella lupakan. Bella sempat rakam detik itu sebagai kenangan,” katanya.
Tambah Bella, kebiasaannya anak-anaknya hanya bertanya tentang waktu cuti, namun permintaan untuk dihantar ke sekolah adalah sesuatu yang jarang disuarakan oleh Ayden sebelum ini.
“Sebelum ini Ayden tak pernah persoalkan. Mungkin sebab Bella selalu terlibat dengan sesi penggambaran foto yang selalunya bermula awal pagi, jadi memang agak lama Bella tidak berkesempatan menghantar mereka sendiri.
“Kejadian ini benar-benar buat Bella tersedar yang Bella sudah terlalu sibuk. Jadi, Bella ada berjanji dengan mereka untuk membawa mereka berjalan-jalan selepas ini sebagai ganti masa yang hilang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bella kini mempunyai lagu raya solo pertamanya Ya Raya yang dicipta oleh Rudeen dan Exactesy yang boleh didengar dan ditonton bermula hari ini di saluran Youtube.
“Bila pertama kali dengar demo Ya Raya saya terus rasa dia sangat positif dan menggambarkan suasana raya.
“Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza, kadang kampung, kadang di bandar. Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan.
“Ada elemen ceria yang buat orang rasa nak senyum bila dengan memang kena dengan mood Raya,” katanya. -UTUSAN










