PETALING JAYA: Seramai 16 penuntut Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima tajaan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPD) bernilai RM4.08 juta bagi tempoh tiga tahun.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, tajaan itu merangkumi pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 16 pelajar telah diluluskan untuk menerima manfaat tersebut melibatkan 14 penuntut diploma dan dua pelajar ijazah sarjana muda.
“Selain itu, lima pelajar UKKM turut menerima biasiswa KWAPD, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan rakan strategik dalam membangunkan modal insan koperasi yang berilmu, berkeupayaan dan berdaya saing,” katanya dalam sidang akhbar Program Jom@Coop Jelajah Platinum 2026 sempena sambutan Jubli Platinum ke-70 Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di IKMa, hari ini.
Tambah Mohamad, bermula Februari ini, UKKM akan mengenalkan program Doctor of Business Administration (DBA) dan pada April pula, program Sarjana Pentadbiran Perniagaan menerusi
“Program Sarjana tersebut akan dilaksanakan menerusi pembelajaran jarak jauh atau Online Distance Learning (ODL).
“Inisiatif itu bukan sekadar tawaran akademik, sebaliknya membuktikan komitmen berterusan IKMa untuk membina generasi pemimpin koperasi yang berilmu, berani serta mampu membentuk masa depan ekonomi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd. Ali Mansor berkata, pengaktifan Persona Digital IKMa melalui CikMa menzahirkan kesiapsiagaan institusi itu memimpin transformasi gerakan koperasi.
Katanya, inisiatif itu memudahkan koperator mengakses latihan, bimbingan dan maklumat dengan lebih pantas serta inklusif, termasuk bagi menarik minat generasi muda.
“CikMa bukan sekadar inovasi teknologi, sebaliknya menjadi simbol komitmen IKMa memastikan koperasi terus relevan, progresif dan berdaya saing sebagai sandaran ekonomi rakyat,” katanya.-UTUSAN










