PUTRAJAYA: Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Kementerian Luar, lawatan ini merupakan lawatan balas susulan lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos tahun lalu.
Katanya, Modi akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini esok diikuti dengan mesyuarat dua hala dengan Anwar bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama antara Malaysia dan India.
“Ini khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; tenaga kerja; pelancongan; kesalinghubungan; pertanian; dan pendidikan.
“Perbincangan juga akan merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra, kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah; pengurusan bencana dan perjanjian mengenai penerbitan audio visual.
Ini termasuk Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja; Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor; kesihatan; keselamatan negara; dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dilaksanakan dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA),” katanya.
Kata Wisma Putra, jumlah perdagangan antara Malaysia dan India mencapai RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion), manakala jumlah eksport Malaysia ke India pula berjumlah RM52.30 bilion (AS$12.24 bilion) selain nilai import berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion).
Katanya, barangan eksport utama merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit; dan produk elektrikal dan elektronik; manakala import dari India terdiri daripada produk pertanian; produk petroleum; dan produk kimia.
“India merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia di rantau Asia Selatan. Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala serta memupuk kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.
“Ia berteraskan asas persahabatan yang kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1957, dan peningkatan hubungan dua hala yang telah dinaik taraf ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Ogos 2024. – UTUSAN










