Apa salahnya dari Bersatu ke DAP, bukti demokrasi bebas anggotai mana-mana parti  - penganalisis

Apa salahnya dari Bersatu ke DAP, bukti demokrasi bebas anggotai mana-mana parti  – penganalisis

MANA-mana pihak bebas menggangotai mana-mana parti atau pertubuhan dan dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan mahu menyertai DAP, seperti didakwa Pengerusi DAP cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin sebelum ini, tiada cacat cela dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Penganalisa politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, perkara ini adalah satu bentuk pemaknaan demokrasi yang ada di negara ini untuk bebas menggangotai mana mana parti atau pertubuhan dan dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau melihat senario ini adalah perkara biasa berlaku dalam mana-mana parti politik kerana ahli dan pemimpin akan mencari ruang untuk bernaung bagi menjaga kepentingan mereka dari aspek kebajikan, jawatan dan kuasa daripada parti yang kuat mahupun sedang menjadi kerajaan.

“Ideologi dan perjuangan hanya sekadar kenderaan yang membawa ahli dan pemimpin untuk mencapai matlamat mereka, namun sudah semestinya imej atau maruah akan sedikit tercalar dengan tindakan menyeberang ke parti seteru untuk menjadi ahli atau menjawat jawatan penting dalam parti.

“Kita lihat juga keadaan sama berlaku kepada Tengku Zafrul apabila beliau dari asalnya ahli parti UMNO menjadi menteri di bawah kerajaan Tan Sri Muhyidin Yasin, kemudian masuk ke PKR dan dilantik sebagai ahli Biro Politik PKR,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan juga mahu usaha DAP menarik lebih ramai ahli pelbagai bangsa termasuk daripada masyarakat Melayu tidak akan dilaksanakan dengan terburu-buru atau menggadaikan prinsip parti.

Syahredzan berkata, kemasukan ahli Melayu ke dalam DAP berlaku secara organik dan cermat yang mana DAP tidak perlu ‘mengimport’ individu daripada parti lain semata-mata untuk menambah bilangan ahli.

Dalam pada itu, Tawfik berkata, trend di negara ini hanya sehari dua sahaja heboh kemarahan dalam kalangan pemimpin dan ahli terhadap mana-mana individu yang menyeberang ke parti lain, selepas itu keadaan politik menjadi kembali tenang.

MOHAMMAD TAWFIK YAAKUB

Dalam konteks DAP pula, beliau melihat ini adalah usaha untuk memperkukuh imej dan kedudukan, sokongan orang Melayu terhadap DAP.

“Lebih ramai individu dalam kalangan ahli biasa dan pemimpin yang menyertai DAP maka imej yang menyatakan DAP parti didominasi kaum Cina dan rasis semakin cair.

“Malah, DAP memberi ruang kepada yang terpilih menjadi calon ADUN, Parlimen serta membuka ruang kepada pemimlin Melayu untuk bertanding seterusnya menang menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya, kemasukan pemimpin dan ahli Melayu dalam DAP semakin dinormalisasi dalam budaya politik negara kita.

“Apabila wajah-wajah pemimpin Melayu diletakkan di barisan hadapan pemimpin parti dan bertarung di Parlimen, maka ini menjadi tarikan kepada lebih ramai individu dan pemimpin yang melihat keterbukaan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN