PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor (JKAN Selangor) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Sentuhan Kasih Johor Bahru menyerahkan sebanyak 600 Set Khairat Kematian kepada koperasi bagi membantu memudahkan pengurusan jenazah dalam komuniti setempat.
Majlis Sesi Penyerahan Set Khairat Kematian (Kit Jenazah) yang disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah itu merupakan satu usaha kebajikan yang memberi sokongan awal kepada waris yang berdepan saat kehilangan insan tersayang, khususnya dalam situasi yang memerlukan tindakan segera serta persediaan asas pengurusan jenazah.
Dr. Abdul Fattah berkata, pengurusan jenazah merupakan tanggungjawab fardu kifayah yang menuntut penglibatan masyarakat. Sehubungan itu, bantuan berbentuk kit jenazah ini dilhat dapat membantu mempercepatkan urusan serta mengurangkan tekanan kepada keluarga yang sedang berdepan kehilangan.
“Usaha ini membuktikan koperasi bukan sahaja berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, malah turut memainkan fungsi sosial penting dalam membantu masyarakat ketika berhadapan situasi sukar.
“Program ini juga memperlihatkan kerjasama strategik antara ANGKASA dan badan kebajikan dalam memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih tersusun serta memberi impak lebih meluas kepada komuniti,” katanya.
Dr. Abdul Fattah berkata, ANGKASA juga berharap lebih banyak koperasi akan terus mempelopori program kebajikan seumpama ini bagi memperkukuh hubungan antara koperasi dan masyarakat, selaras dengan aspirasi pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan. – UTUSAN










