AMH Pulau Pinang tubuh jawatankuasa baharu, perkukuh struktur organisasi

AMH Pulau Pinang tubuh jawatankuasa baharu, perkukuh struktur organisasi

CHONG Wei Hoong (tengah) bersama ahli jawatankuasa AMH Pulau Pinang yang baru dilantik pada hari ini.-GAMBAR/AMH PINANG PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Angkatan Muda Harapan (AMH) Pulau Pinang hari ini secara rasminya mengumumkan penubuhan jawatankuasa baharu mereka di peringkat negeri bagi penggal 2026 sebagai langkah strategik memperkukuh struktur organisasi serta memperkemas gerak kerja pemuda dalam mendepani landskap politik semasa yang semakin dinamik.

Pengarah Penerangannya, Ooi Boon Sheng berkata, keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa itu dicapai menerusi satu mesyuarat bersama yang melibatkan ketiga-tiga pimpinan sayap pemuda parti komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri iaitu Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau berkata, jawatankuasa yang dibentuk itu menghimpunkan barisan kepimpinan muda yang berwibawa, terdiri daripada gabungan pemimpin akar umbi serta golongan profesional dan teknokrat muda yang diyakini mampu memperkukuh keberkesanan pergerakan pemuda melalui pendekatan yang lebih tersusun, progresif serta berpaksikan kepentingan rakyat.

“Penubuhan jawatankuasa ini bukan sekadar pengisian struktur organisasi, malah, merupakan manifestasi penyatuan tekad dan komitmen bersama bagi memperkukuh perpaduan antara parti-parti komponen Konvensyen Pemuda Harapan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketua DAPSY Pulau Pinang, Chong Wei Hoong dipilih untuk mengetuai jawatankuasa tersebut dengan dibantu oleh dua orang timbalan iaitu Ketua AMK negeri, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal serta Ketua Pemuda Amanah negeri, Muhamad Khairul Mohd Ali.

Sementara itu, Boon Sheng berkata, pada mesyuarat yang sama, AMH Pulau Pinang turut membuat ketetapan untuk menganjurkan Konvensyen Pemuda Harapan Negeri Pulau Pinang yang dijadual berlangsung pada April depan.

Beliau berkata, konvensyen itu antara lain bertujuan mengukuhkan sinergi serta kerjasama strategik antara ketiga-tiga sayap pemuda parti komponen PH selain merangka hala tuju serta agenda bersama gerakan pemuda di peringkat negeri dan sebagainya.

“Dalam hal ini, AMH Pulau Pinang percaya bahawa kekuatan sebenar gerakan pemuda terletak pada keupayaan untuk merapatkan perbezaan, membina persefahaman, serta membentuk satu blok politik yang kukuh, inklusif dan berintegriti demi menjamin kestabilan serta masa depan rakyat.

“Oleh itu, kami kekal komited untuk menjadi wadah penyatuan suara anak muda yang berteraskan prinsip perpaduan, integriti dan perjuangan demi kepentingan rakyat,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN