PETALING JAYA: AmBank Group (AmBank) kembali menganjurkan AmBank Bazar Ramadan sebagai inisiatif tahunan yang menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa di beberapa lokasi strategik seluruh negara.
Menurut AmBank, bazar itu menampilkan aneka hidangan termasuk kuih-muih tradisional, lauk-pauk berinspirasikan masakan kampung, sajian moden serta pelbagai jenis minuman.
Katanya, ia bukan sahaja memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka, malah menjadi platform kepada usahawan kecil dan sederhana untuk menjana pendapatan sepanjang bulan yang mulia ini.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan AmBank dalam memperkasa komuniti serta menyokong pembangunan ekonomi setempat, bazar ini dianjurkan di beberapa lokasi terpilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara lokasi terlibat ialah Presint 14, Putrajaya; Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Kuala Lumpur; Jalan Raja Muda Musa Abdul Aziz (HKL), Kampung Baru, Kuala Lumpur; Datuk Keramat, Kuala Lumpur; Bandar Baru UDA, Johor Bahru serta Kamunting, Perak.
AmBank berkata, penganjuran bazar diharap dapat menyemarakkan semangat kebersamaan, selain memperkukuh hubungan antara institusi kewangan dan masyarakat setempat.
“Selain menjadi destinasi pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, AmBank Bazar Ramadan turut berfungsi sebagai ruang interaksi komuniti yang mengeratkan silaturahim dalam suasana Ramadan yang penuh bermakna.
“Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menyokong peniaga tempatan dan menikmati pengalaman membeli-belah Ramadan bersama keluarga serta rakan-rakan,” katanya. – UTUSAN










