SHAH ALAM: Pelakon popular, Meerqeen, mendedahkan dirinya menerima kecaman segelintir pengguna media sosial susulan perubahan fizikal yang menyaksikan berat badannya kini mencecah 90 kilogram.
Menurut Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, perubahan tersebut dilakukan demi menjayakan karakter dalam sebuah projek lakonan terbaharu. Namun, beliau mengakui tetap berasa terguris dengan komen negatif yang dilemparkan.
“Peminat saya faham, tetapi orang luar yang tidak mengikuti perkembangan saya di media sosial atau mungkin pembenci mendakwa tubuh saya kelihatan gemuk tidak seperti dahulu kerana sakit.
“Ada yang kata saya berpenyakit. Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku, tetapi sebagai manusia biasa, hati tetap terusik,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Gempak Most Wanted Awards 2025 (GMWA2025) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, pelakon drama sensasi Melur Untuk Firdaus itu berkata, demi menjaga kesejahteraan mental, beliau mengambil keputusan mengurangkan penggunaan media sosial daripada 12 jam sehari kepada hanya enam jam.
“Itu pun sekadar untuk urusan penting seperti memuat naik hantaran berkaitan kerja dan perkara wajib sahaja. Selain itu, saya cuba elak.
“Sebelum ini saya pernah berdepan tohmahan lebih teruk, jadi apa yang berlaku sekarang tidaklah terlalu menjejaskan mental. Cuma saya bimbang ia mengganggu misi mendapatkan bentuk tubuh yang diperlukan untuk watak ini,” ujarnya.
Menurutnya, beliau tidak berkongsi rutin latihan di gimnasium menyebabkan ada pihak tersalah anggap terhadap perubahan fizikal tersebut.
“Mungkin sebab saya tidak kongsi aktiviti di gim, orang luar tidak tahu tujuan sebenar saya ubah fizikal. Jadi, lebih baik saya kurangkan perhatian kepada media sosial kerana ia memakan masa dan komitmen,” katanya.
Tambah Meerqeen, fokusnya kini terarah kepada latihan fizikal dan pembangunan karakter. Malah, usahanya itu membuahkan hasil apabila beliau berasa lebih tenang dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kerjaya.
“Perjalanan untuk dapatkan badan sado bukan mudah. Saya perlu besarkan tubuh dahulu supaya nampak cantik. Rutin saya di gim lima kali seminggu, masuk tengah hari dan pulang sekitar pukul 3 petang sebelum meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Meerqeen belum bersedia mendedahkan judul filem berkenaan, namun memaklumkan tidak menerima tawaran lain sehingga memasuki set penggambaran sekitar Julai depan. – UTUSAN










