SEPANG: “Kami hampir putus asa mencari penderma, apatah lagi kos pembedahan terlalu tinggi buat kami sekeluarga.”
Itu luahan hiba Flora Jenat, ibu kepada Athalia Feodora Augustine, seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menghidap penyakit Biliary Atresia (BA) sejak berusia dua bulan.
Menurut Flora, penderitaan anaknya bermula apabila bayi itu mengalami masalah kuning berpanjangan yang tidak pernah surut, malah bacaannya semakin meningkat secara mendadak.
Katanya, ketiadaan sejarah penyakit itu dalam keluarga selain kurangnya pengetahuan mengenai simptom awal menyebabkan mereka buntu pada mulanya.
“Kami sendiri tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku kerana tiada ahli keluarga lain yang menghidapnya. Jadi pada mulanya doktor menyarankan pembedahan Kasai dilakukan untuk membaiki saluran hempedu. Bagaimanapun, prosedur Kasai itu tidak berjaya,” katanya ketika ditemui selepas tiba dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemindahan hati menjadi jalan terakhir untuk Athalia selepas kegagalan prosedur Kasai, namun masalah kewangan dan ketiadaan penderma yang sesuai menjadikan keadaan semakin sukar buat keluarga mereka.
“Suami mempunyai masalah darah tinggi dan kolesterol, manakala saya pula menghidap asma sejak kecil serta darah tinggi. Kami hampir hilang harapan kerana tiada penderma yang sesuai dalam kalangan ahli keluarga terdekat,” katanya.
Namun, sinar harapan muncul apabila adiknya menyatakan kesudian menjadi penderma demi menyelamatkan nyawa Adalia.
“Syukur, adik sanggup menderma kerana sudah menganggap Adalia seperti anak sendiri. Terima kasih juga kepada pihak Nadi dan orang ramai yang banyak membantu dari segi kos,” katanya.
Tambahnya, bantuan dari pihak Persatuan Nadi Permata Malaysia memudahkan urusan kewangan serta menjadi perantara penting sehingga Athalia berjaya menjalani pembedahan di China.
Katanya, Athalia kini berada dalam fasa pemulihan selepas menjalani pemindahan hati pada 14 Januari lalu dan dijangka dapat pulang ke rumah di Sarawak selepas rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya selesai.
“Sekarang kami perlu fokus kepada proses susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dibenarkan pulang ke Sarawak,” jelasnya.-UTUSAN










