KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Sithu Moe Lwin, 18, yang merupakan warga Myanmar dari Kuala Lumpur dilaporkan datang ke sini untuk bercuti bersama tiga rakannya.
Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai, Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, mangsa bersama tiga rakannya dipercayai turun ke laut untuk mandi sebelum ombak kuat dan arus deras menarik mereka ke tengah.
“Bagaimanapun, dua daripada mereka dilaporkan hampir lemas sebelum salah seorang diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh JBPM Kuala Terengganu diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih hilang dengan radius pencarian sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Pencarian dibahagikan kepada enam ‘checkpoint’ dengan tumpuan di pesisir pantai sehingga satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas. Kerja-kerja selaman tidak dapat dilakukan berikutan arus laut yang kuat serta faktor keselamatan anggota penyelamat.
“Operasi menyelam juga tidak dapat dijalankan susulan ombak besar, namun pencarian diteruskan melalui rondaan di pesisir pantai dan pemantauan menggunakan dron,” katanya.- UTUSAN










