27 PATI Myanmar dicekup bersama tekong

27 PATI Myanmar dicekup bersama tekong

SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Kelantan dalam operasi di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Cubaan sindiket menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan laut Kelantan terbongkar apabila seramai 27 warga Myanmar dan seorang tekong darat diberkas dalam serbuan di Wakaf Che Yeh, semalam.

Kesemua PATI termasuk 12 wanita berusia dalam lingkungan tahun 17 hingga 40 tahun itu ditahan di dalam enam buah kenderaan menerusi Op Serkap selepas mereka baru sahaja masuk ke negara ini secara haram melalui jalan laut.

Timbalan Pengarah Imigresen Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan menerusi operasi  dijalankan kira-kira pukul 7.05 pagi oleh 11 pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan.

Katanya, hasil pemantauan mengesan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton X90 dan Nissan Serena selain dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu Honda HR-V dan Perodua Aruz yang disyaki digunakan untuk mengangkut kesemua PATI ke luar Kelantan. 

“Pegawai terlibat membuat halangan di laluan masuk dan keluar tempat letak kenderaan itu semasa serbuan dijalankan. Beberapa PATI dan pemandu kenderaan cuba meloloskan diri, namun mereka dapat ditahan.

“Seramai 28 PATI warga Myanmar termasuk tekong darat berusia 31 tahun dicekup di kawasan tersebut. Kesemua PATI mengaku mereka baru sahaja memasuki negara ini secara haram menggunakan jalan laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Akhtarulhaq berkata, pegawai Imigresen membuat pemeriksaan menyeluruh di dalam hotel itu sebelum menahan lima lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun hingga 36 tahun di dalam sebuah bilik.

Katanya, hasil soal siasat mendapati, kesemua lelaki itu mengaku sedang menunggu ejen bagi membawa mereka menyeberangi sempadan untuk pulang ke negara asal. 

“Selain itu, dua lelaki warga China masing-masing berusia 32 tahun turut ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam timbunan kotak di bumbung hotel tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, 27 PATI yang baru masuk ke negara ini ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang tekong darat warga Myanmar disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN