SUNGAI PETANI: Sebuah rumah di Taman Ria Indah yang menyimpan 241 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa lesen diserbu pihak berkuasa semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejayaan itu hasil maklumat serta risikan Cawangan Risik Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim yang mengekori seorang penjual mercun dari Kepala Batas hingga ke Sungai Petani.
Menurut beliau, pihaknya menemui 241 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa sebarang lesen atau permit sah, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM202,000.
“Semasa suspek yang merupakan seorang wanita berusia 53 tahun memasuki sebuah rumah di Taman Ria Indah, pihak PGA Kulim terus membuat serbuan,” katanya.
Tambahnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Semakan mendapati wanita itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah dan satu rekod jenayah.
Suspek kini ditahan bagi proses reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-UTUSAN










