JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai, di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Mohd. Shahrizal Yap, 22, dan Wan Nurkhairani Wan Norzaini, 21, ditemukan sudah meninggal di tingkat atas rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Saifulbahari Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.28 pagi.
“Seramai 13 anggota bomba bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres kekal dua tingkat dengan kemusnahan kira-kira 40 peratus dengan kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu tingkat bawah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Saifulbahari, mangsa wanita merupakan anak perempuan kepada pemilik rumah manakala mangsa lelaki ialah penyewa bilik, dengan mayat lelaki didapati mempunyai sedikit kesan melecur.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.51 pagi bagi mengelakkan api merebak ke rumah bersebelahan. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – UTUSAN









