PETALING JAYA: Sebanyak 18 daripada 24 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah dijangka mengumumkan pembubaran bahagian masing-masing susulan krisis dalaman parti itu yang melanda ketika ini.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin berkata, proses pembubaran melibatkan Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian sedang dijalankan secara berperingkat.
Beliau yang juga bekas Ketua Bersatu Bahagian Libaran berkata, setakat ini empat bahagian membubarkan AJK masing-masing, manakala baki bahagian lain dijangka menyusul selewat-lewatnya minggu depan.
“Ya, kita sedang menguruskan setiap bahagian untuk membubarkan AJK bahagian masing-masing.
“Seramai 18 daripada 24 bahagian akan dibubarkan serta-merta dan selepas ini semua Bersatu di Sabah akan bubar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yunus berkata, beliau tidak terkejut sekiranya Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee turut dikenakan tindakan disiplin.
“Saya tidak terkejut jika selepas ini Datuk Seri Ronald Kiandee akan dipecat kerana nampak sangat pihak Presiden terdesak memastikan semua pengikut Datuk Seri Hamzah Zainudin terkeluar daripada parti.
“Tetapi saya berpandangan tindakan ini tidak bijak kerana Hamzah mempunyai pengaruh besar dalam Bersatu dan mendapat sokongan ramai sama ada di peringkat ahli Parlimen mahupun bahagian,” katanya.
Katanya, pihaknya juga bersedia menunggu ‘rumah baharu’ yang bakal diumumkan oleh Hamzah dalam masa terdekat. – UTUSAN










