10,000 Tanglung Merah hiasi Jalan Raja Uda

10,000 Tanglung Merah hiasi Jalan Raja Uda sempena Tahun Baharu Cina

Laluan di Jalan Raja Uda, Pulau Pinang kembali dihiasi 10,000 tanglung merah yang menceriakan suasana sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Laluan sepanjang hampir empat kilometer di Jalan Raja Uda kembali dihiasi kira-kira 10,000 tanglung merah yang menceriakan suasana sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada 17 Februari ini.

Pemasangan tanglung yang merentasi keseluruhan jalan berkenaan menjadi mercu tanda sambutan perayaan di kawasan tersebut, malah saban tahun menarik perhatian orang ramai yang melalui laluan berkenaan selain menjadi lokasi pilihan pengunjung untuk merakam gambar kenangan menjelang musim pera­yaan.

Hiasan tanglung merah yang sinonim dengan simbol kemakmuran, tuah dan kegembiraan itu turut menyerlahkan kemeriahan suasana perayaan masyarakat Cina di negeri ini.

Malah, laluan berkenaan pernah direkodkan dalam Malaysia Book of Records sebagai antara laluan tanglung perayaan terpanjang di negara ini.

Selain menceriakan suasana perayaan, pemasangan tanglung itu turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan apabila Butterworth menjadi antara lokasi persinggahan pelancong domestik setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina.

Projek pemasangan tanglung tersebut mula dianjurkan sejak 2009 dan kini memasuki tahun ke-15 penganjurannya.

Bagaimanapun, penganjuran program berkenaan terpaksa dihentikan sementara pada 2021 dan 2022 susulan pandemik Covid-19 sebelum dihidupkan semula bermula 2023.

Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Datuk Seri Hong Yeam Wah berkata, projek pemasangan tanglung itu dianjurkan sebagai usaha memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di samping mengekalkan warisan kebudayaan masyarakat Cina.

Menurut beliau, penganjuran acara berkenaan turut menjadi platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum melalui sambutan perayaan yang dikongsi bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN