BUKIT GANTANG: Dianggarkan lebih 100 rumah di 10 kawasan di Taiping terjejas akibat ribut yang turut menyebabkan kejadian pokok tumbang petang semalam.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, antara kawasan terlibat termasuk Taman Kaya, Taman Damai, Kampung Sentosa, Batu 2½, Kampung Pak Darus, Taman Ria, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, PPR Simpang Perdana dan Jalan Simpang.
Menurutnya, beliau akan mendahulukan peruntukan peribadi dianggarkan hampir RM1 juta bagi membantu kerja pembaikan rumah mangsa yang terjejas.
“Saya akan membawa tukang esok (hari ini) untuk menilai kerosakan. Saya akan dahulukan wang sendiri bagi mempercepatkan kerja baik pulih kerana jika menunggu bantuan kerajaan, mungkin mengambil masa sedangkan keadaan cuaca kini tidak menentu.
“Saya akan memastikan bantuan segera disalurkan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas,” katanya ketika melakukan tinjauan di Taman Damai semalam.
Sementara itu, seorang wanita mempertaruhkan keselamatan diri demi melindungi suaminya yang terlantar ketika kediaman mereka dilanda ribut di Lorong 6, Taman Damai, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Nor Hashimah Sulaiman, 48, melindungi suaminya, Rosli, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), selepas bumbung dan siling rumah mereka runtuh akibat dipukul angin kencang.
Abang wanita itu, Azhar Sulaiman, 55, berkata, dia bergegas ke rumah adiknya sebaik sahaja menerima berita kejadian itu bagi memastikan pasangan berkenaan selamat.
“Sebaik sahaja tiba, saya dapati keseluruhan bumbung rumah termasuk kipas siling diterbangkan angin hampir 100 meter hingga ke Lorong 8 di belakang rumahnya. Beberapa rumah jiran turut terjejas,” katanya.
Menurut Azhar, kejadian itu adalah yang pertama dialami adiknya sejak menetap di kawasan berkenaan kira-kira 15 tahun lalu.
“Adik saya mengalami kecederaan ringan di kepala namun enggan mendapatkan rawatan di klinik kerana perlu menjaga suaminya yang terlantar.
“Buat masa ini mereka menumpang di rumah saudara di Taman Ria,” katanya. – UTUSAN










