SEREMBAN: Seorang bekas ahli lembaga pengarah sebuah syarikat kilang memproses sisa elektronik (e-waste) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan kepada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Februari tahun lalu.
Tertuduh, Jiang Fanjun, 43, yang merupakan warganegara China membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah bersubahat dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dengan memberikan wang tunai sebanyak RM50,000 kepada seorang Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar JAS.
Ia sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap ejen syarikat terbabit yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Kesalahan yang dilakukan mengikut akta itu adalah tidak mempunyai lesen premis yang ditetapkan, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah JAS, tiada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Mahkamah membenarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan serta tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen. – UTUSAN










