KUALA LUMPUR: UMNO Terengganu sedia bekerjasama dengan Pas bagi menebus kembali kekalahan dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut sebelum ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, kerjasama itu selaras cadangan Musyawarah Nasional bagi membincangkan agenda politik Melayu merangkumi semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.
“Kita bersedia. Kalau melakukan perubahan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, dengan memikirkan kepentingan semua, kenapa tidak?
“Walaupun kita tengok mungkin ini satu masalah besar pada kita, tetapi keutamaannya adalah agama, bangsa dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, realiti politik semasa menuntut pendekatan lebih terbuka dan pragmatik, khususnya dalam usaha mengembalikan kekuatan UMNO di negeri Pantai Timur yang selama ini dikenal pasti kubu kuat Pas.
Malah katanya, Rumah Bangsa UMNO dilihat alternatif terbaik dalam menyelesaikan perpecahan orang Melayu, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan kerjasama termasuk dengan Pas.
“Yang penting kita mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO untuk menjadi peneraju di negeri Terengganu. Dan juga buat masa sekarang ini memanglah laluan agak sukar bila kita bukan kerajaan.
“Walau bagaimanapun kita telah melakukan perubahan-perubahan dari segi dasar,” katanya.
Beliau berkata bahawa sebarang bentuk kerjasama perlu dibincangkan secara terperinci dan mengambil kira pelbagai faktor. – UTUSAN










