UMNO perlu dominan jika mahu Melayu selamat

UMNO perlu dominan jika mahu Melayu selamat

NURUL AMAL MOHD. FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu kembali dominan seperti dahulu jika orang Melayu mahu kembali stabil dan selamat dalam politik negara.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, sejarah membuktikan ketika UMNO menjadi teras pemerintahan, orang Melayu dan Islam berada dalam keadaan lebih tersusun dari segi kuasa politik, ekonomi dan hala tuju negara.

Katanya, negara ini pernah diperintah oleh kerajaan Melayu-Islam, namun hakikat pahit yang perlu diterima ialah kerajaan itu tumbang bukan kerana tekanan luar, sebaliknya akibat perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam sendiri.

“Yang menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam dahulu bukan pihak lain, tetapi orang Melayu dan Islam juga. Ini realiti yang perlu diakui, bukan untuk menuding jari tetapi untuk belajar daripada kesilapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum itu, Melayu dikatakan tidak selesa dengan beberapa keputusan dalam Kerajaan Perpaduan menyebabkan UMNO yang diterajui orang Melayu terpalit dengan tempias sehingga dianggap tidak relevan dalam kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara isu tersebut adalah berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), terbaharu pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, UMNO ketika ini seperti ‘kaki yang patah’ namun tidak mustahil untuk pulih dengan syarat rakyat memberi mandat sepenuhnya kepada parti itu seperti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2028.

“Kalau kaki patah biasa, mungkin cepat sembuh, tetapi kalau patah dan perlu masukkan besi, sudah tentu ambil masa lebih lama untuk rehab. Begitulah UMNO hari ini. Ia perlukan masa untuk pulih, bukan ditinggalkan,” katanya.

Katanya lagi, dalam tempoh pemulihan itu, orang Melayu sepatutnya kembali memberi kepercayaan dan ruang kepada UMNO untuk bangkit semula, bukannya terus menghukum dan menjauhkan diri.

Beliau dalam masa yang sama turut menegur sikap segelintir pihak yang hanya ‘merindui’ UMNO selepas parti itu tidak lagi berkuasa, sedangkan ketika parti itu memerintah, sokongan ditarik balik atas pelbagai alasan.

“Bila UMNO jatuh, barulah rindu itu, rindu ini. Rindu kestabilan, rindu suara Melayu kuat dalam kerajaan. Tetapi semua itu datang selepas kejatuhan,” katanya.

Katanya, keinginan untuk melihat UMNO kembali kuat tidak boleh sekadar menjadi nostalgia, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sokongan yang konsisten dan matang PRU akan datang.

Malah katanya, UMNO juga perlu diberi ruang untuk melakukan pembaharuan dalaman, memperbaiki kelemahan serta membina semula keyakinan rakyat.

“Kita bagi laluan, kita bagi masa. Tetapi akhirnya, kalau orang Melayu mahu rasa selamat semula, UMNO perlu kembali dominan bukan lagi sebagai simbol, sebaliknya kekuatan sebenar.

“Saya percaya masa hadapan politik Melayu bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk berdamai dengan realiti, belajar daripada sejarah dan berani membuat keputusan yang berpaksikan kepentingan jangka panjang, bukan emosi sementara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN