PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihatkan berehat panjang memandangkan pembedahan bukanlah pilihan terbaik pada usia beliau yang telah mencecah 100 tahun.
Anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ayahnya akan mengambil masa lebih dua hingga tiga minggu untuk berehat kerana faktor usianya.
Beliau berkata, pakar-pakar kesihatan dari Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menasihatkan agar Tun Dr Mahathir menjalani proses pemulihan biasa tanpa melibatkan pembedahan.
“Oleh kerana keadaan kesihatan beliau, tentulah kena ambil masa sikit, itu pun dalam dua tiga minggu juga untuk beliau (Dr Mahathir) berehat kerana faktor usia beliau mencecah 100 tahun.
“Pembedahan bukan satu opsyen yang baik. Kita telah dinasihatkan pakar-pakar Institut Jantung Negara (IJN), UKM untuk beliau melalui satu proses pemulihan biasa yang akan memakan masa sedikit.
“Ini supaya beliau boleh kembali sihat seperti biasa dan boleh kembali bertugas seperti sebelum ini,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook.
Semalam, Dr. Mahathir disahkan mengalami keretakan pada bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya.
Menurut Pegawai Pejabat Dr. Mahathir Mohamad, Sufi Yusuf, berdasarkan penilaian perubatan mendapati Dr. Mahathir mengalami kecederaan tersebut dan dijangka perlu dirawat serta dipantau di hospital untuk tempoh beberapa minggu. – UTUSAN










