KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Iran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan seorang pesara kerajaan.
Suri rumah, Sahar Javanpour Ahmad, 35, serta dua pekerja kedai kopi, Arash Razmkhah, 28 dan Mahdi Javanpour, 18, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris kerana kesemua tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merompak cincin dan rantai tangan emas milik mangsa berusia 81 tahun, bernilai RM30,000 di sebuah rumah di Taman Sri Petaling di sini, kira-kira pukul 6.20 petang, 9 Januari lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Redzuan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, K. Komagan.
Noor Syafina tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya mereka diberikan jaminan rendah. Sahar dalam rayuannya turut menyatakan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak termasuk seorang kelainan upaya (OKU).
Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin warganegara dan menetapkan 27 Februari depan untuk serahan dokumen.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kesemua tertuduh menyerahkan passport antarabangsa mereka. – UTUSAN










