KANGAR: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang digugurkan keahlian parti dan dikosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menfailkan saman pemula ke atas Yang Dipertua DUN, Rus’sele Eizan dan DUN Perlis.
Saman pemula tersebut dikemukakan oleh bekas ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim selaku plaintif pertama, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) selaku plaintif kedua dan Saad Seman (Chuping) plaintif ketiga di Mahkamah Tinggi, Kangar di sini.
Mereka menamakan Rus’sele selaku defendan pertama dan DUN Perlis selaku defenden kedua.
Mohd. Ridzuan berkata, mereka telah membaca kenyataan akhbar oleh Yang Dipertua DUN Perlis bertarikh 25 Disember 2025 yang mengumumkan berlaku tiga kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Guar Sanji, Bintong dan Chuping.
Katanya, mereka sebagai ADUN yang dipilih dalam pilihan raya menghormati pandangan Speaker, namun berpendapat bahawa pandangan itu terkhilaf kerana bertindak di luar bidang tugas yang diperuntukkan.
“Oleh itu, kami telah menfailkan saman pemula ke atas Tuan Speaker DUN Perlis sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua demi menuntut keadilan daripada pihak mahkamah.
“Selain itu, tindakan kami ini adalah demi kebajikan dan kepentingan rakyat yang tidak akan mempunyai wakil rakyat untuk tempoh dua tahun bagi membela nasib mereka sebelum berlaku pilihan raya negeri (PRN) semula,” katanya hari ini.
Pada 25 Disember lalu, Rus’sele mengumumkan kekosongan luar jangka di kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas ADUN terlibat terhenti keahlian Pas, susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandatangani akuan berkanun menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli selaku Menteri Besar ketika itu.
Rus’sele berkata, kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji adalah kekal berkuatkuasa seadanya sebagai mana surat bertarikh 29 Disember lalu.
Bagaimanapun, dalam sidang akhbar pada Rabu lalu, Rus’sele mengumumkan menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di ketiga-tiga kerusi.
Tiga kerusi berkenaan tetap dikosongkan atas alasan penyandangnya terhenti keahlian Pas.
Dalam pada itu, ketiga-tiga mereka menuntut pengumuman yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif serta relif dan atau perintah lain oleh mahkamah yang mulia.
Kesemua mereka diwakili peguam Mohd. Jamil Yaacob. – UTUSAN










