PETALING JAYA: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis yang dilucutkan keahlian susulan tindakan menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar tidak mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan.
Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat berkata, ketiga-tiga ADUN Pas itu tidak mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan terhadap pemecatan mereka kerana tertakluk di bawah peruntukan Keberhentian Ahli Badan Perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Pas.
“Jika seseorang ahli dipecat di bawah peruntukan ‘Keberhentian Ahli’ Fasal 15(1)(b), rayuan masih boleh dikemukakan melalui Fasal 15(3) iaitu kepada Jawatankuasa Kerja (JK) Pas Pusat atau Fasal 15(3)(d) bagi rayuan terus kepada Majlis Syura Ulama (MSU) sekiranya pemecatan diputuskan oleh JK Pas Pusat dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemecatan.
“Bagaimanapun, bagi kes Keberhentian Ahli Badan Perundangan di bawah Fasal 15A(1) khususnya perenggan (b) dan (d) yang melibatkan tiga ADUN Perlis berkenaan, tiada sebarang peruntukan yang membenarkan proses rayuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut LUHAM Pas Pusat, terdapat perbezaan yang ketara antara Fasal 15 dan Fasal 15A, sekali gus menunjukkan niat sebenar Perlembagaan Pas digubal sedemikian.
“Fasal 15A(2) dengan jelas menoktahkan status keberhentian ahli apabila Setiausaha Agung Pas mengeluarkan Notis Keberhentian dan memaklumkan perkara tersebut kepada Pas Kawasan berkaitan dengan keputusan yang bersifat muktamad.
“Setelah seorang Ahli melanggar mana-mana satu perkara di Fasal 15(1), Setiausaha Agung Pas hendaklah mengeluarkan satu Notis Keberhentian kepada ahli tersebut dan memaklumkan keberhentian ahli yang berkenaan kepada Pas kawasan yang berkaitan dan keputusan adalah muktamad,” katanya.
“Untuk rekod, Majlis Syura Ulama juga tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk melayani rayuan tiga ADUN Perlis tersebut seperti yang dilaporkan atau dihebohkan oleh pihak media,” katanya.
Semalam, tiga ADUN Pas mengemukakan rayuan rasmi berhubung status keahlian mereka dalam Pas kepada Majlis Syura Ulama berlandaskan peruntukan sah dalam Perlembagaan parti itu.
Mereka ialah Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).
Difahamkan, notis rayuan itu sudah disampaikan kepada Mursyidul Am dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas. – UTUSAN











