KUALA LUMPUR: UMNO tidak menetapkan sebarang syarat bagi menerima semula mana-mana pihak termasuk mereka yang pernah meninggalkan parti dan keputusan tersebut terletak sepenuhnya di bawah kuasa Presiden.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tiada ketetapan yang mensyaratkan mana-mana ahli perlu memenuhi kriteria tertentu untuk diterima semula ke dalam UMNO.
“Tiada syarat untuk menerima semula ahli UMNO dan perkara itu juga merupakan kuasa Presiden parti,” katanya kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, semalam.
Terdahulu, UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en blok.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana pihak bagi menyambut kembali termasuk mereka pernah meninggalkan UMNO. – UTUSAN










