PETALING JAYA: Kumpulan Kristal X dikejutkan dengan pengunduran diri pemain dram mereka, Ainol Eqraf Ramli, hanya dua minggu sebelum berlangsungnya Konsert Rockolusi Kuasa Dua, Ahad ini.
Mengulas perkara itu, vokalis Kristal X, Lan Solo, mengakui terkejut dan sedikit terkilan memandangkan segala persiapan konsert telah dilakukan lebih awal bersama-sama Ainol.
Menurut Lan, keputusan tersebut diterima dengan hati terbuka walaupun memberi kesan kepada perancangan kumpulan menjelang hari persembahan.
“Sejujurnya memang ada rasa terkilan kerana semua persiapan dibuat bersama. Namun, dua minggu sebelum konsert, wakilnya memaklumkan bahawa dia tidak dapat meneruskan komitmen bersama kami.
“Dalam keadaan ini, saya perlu bersangka baik. Mungkin dia mempunyai komitmen lain. Kami juga perlu bersikap profesional dan tidak boleh memaksa kerana masa terlalu suntuk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah Lan, keutamaan Kristal X ketika ini adalah memastikan peminat yang telah membeli tiket tidak kecewa dengan persembahan mereka.
“Paling penting adalah tanggungjawab kami kepada peminat. Konsert ini perlu diteruskan dan kami mahu memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Tidak mahu larut dalam kekecewaan, Kristal X bertindak pantas dengan membawa masuk Mohd. Nur Asraf Baharuddin atau lebih dikenali sebagai Acap, 32, sebagai pemain dram baharu bagi konsert berkenaan.
Lan berkata, pemilihan Acap dibuat berdasarkan kemahiran teknikalnya yang tinggi selain hubungan akrab yang telah terjalin sejak sekian lama, sekali gus memudahkan proses keserasian di atas pentas.
“Alhamdulillah, Acap sudi membantu kami. Dia sudah biasa dengan lagu-lagu Kristal dan walaupun masuk di saat akhir, saya yakin dia mampu memberikan persembahan yang mantap,” ujarnya.
Sementara itu, Acap mengakui memikul tanggungjawab besar untuk mengisi kekosongan posisi dram Kristal X dalam tempoh yang singkat.
“Tekanan itu memang ada kerana jangkaan peminat pastinya tinggi. Namun, sebagai sahabat dan ‘adik-beradik’, saya terima tanggungjawab ini dengan niat untuk membantu dan akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Konsert Rockolusi Kuasa Dua turut menampilkan Azlan & The Typewriter dan bakal berlangsung Ahad ini, dengan gabungan elemen rock nostalgia dan moden serta penampilan khas kumpulan koir sekolah seni. -UTUSAN










