PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tumpuan serius terhadap isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) menerusi siasatan di bawah Op Nature yang sedang dijalankan.
Tumpuan itu dibuat susulan pelaksanaan operasi serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan semalam di dua lokasi iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan, bagi meneliti isu berkaitan pengurusan e-waste yang didakwa tidak mematuhi peraturan.
Selain menyiasat kemungkinan kesalahan jenayah rasuah, perhatian turut diberikan kepada aspek tatakelola dalam mengenal pasti punca dan kelemahan sistem pengurusan hingga menyumbang kepada berlakunya isu e-waste, termasuk pengimportan secara haram.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kelemahan berkenaan membuka ruang kepada perlakuan rasuah dan membolehkan aktiviti pengimportan haram e-waste terus berlaku.
“SPRM membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti punca sebenar dan mencari kaedah terbaik untuk mengelakkan isu ini daripada berlarutan. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut menyebabkan kerugian kepada hasil pendapatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara isu dikenal pasti adalah berkaitan aspek pemantauan dan tindakan susulan terhadap pengurusan e-waste yang dilihat masih mempunyai kelemahan.
“Namun begitu, semua dapatan awal ini hanya boleh disahkan selepas penyiasatan tatakelola secara menyeluruh diselesaikan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan isu sama turut berlaku di negeri-negeri lain dan memaklumkan bahawa siasatan tatakelola akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya terdapat keperluan.
Dalam pada itu, Datuk Azmi berkata, SPRM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkepentingan termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Pasukan Petugas Khas e-waste yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“SPRM berharap setiap agensi terlibat dapat memainkan peranan lebih tegas dan bertanggungjawab berdasarkan bidang kuasa masing-masing bagi memastikan pengurusan e-waste dilaksanakan secara telus, berkesan dan mematuhi undang-undang,” katanya. – UTUSAN










