428 kontena e-waste haram dipulangkan ke negara asal

PARLIMEN: 428 kontena e-waste haram dipulangkan ke negara asal

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 428 daripada 701 kontena mengandungi muatan sisa elektronik (e-waste) haram yang ditahan dalam tempoh lima tahun lalu berjaya dipulangkan semula ke negara asal.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, tindakan pemulangan itu juga dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Katanya, berdasarkan rekod, 1,241 kontena diperiksa oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), JAS, Lembaga Pelabuhan dan agensi penguatkuasaan lain antara 2021 hingga 2025. 

“Daripada jumlah itu, 701 kontena mengandungi e-waste dan ditahan, manakala JAS telah mengeluarkan notis arahan pemulangan kepada semua konsaini yang terlibat.

“Bagi kontena yang ditahan pihak berkuasa lain seperti Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS), proses tindakan akan mengambil masa kerana melibatkan prosiding mahkamah dan prosedur perundangan sebelum pelupusan dilaksanakan secara sah,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai faktor kerajaan mengharamkan pengimportan sisa elektronik berkuatkuasa serta-merta mulai 4 Februari 2026 dan tindakan NRES untuk melupuskan bekalan e-waste yang dibawa masuk ke negara kita secara haram sebelum ini.

Arthur berkata, tindakan akan diambil terhadap pengimport, ejen penghantaran, pengangkutan kargo dan syarikat perkapalan atau pembawa yang terlibat, selagi pemilik boleh dikenal pasti. 

Katanya, bagi e-waste yang dibawa masuk secara haram, tindakan pemulangan ke negara asal akan dilaksanakan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel.

“Sekiranya pemulangan tidak dapat dilaksanakan jika pemilik tidak dapat dikenal pasti, e-waste tersebut akan diurus dan dilupuskan melalui kaedah Pengurusan Secara Mesra Alam (ESM) di fasiliti berlesen dalam negara bagi memastikan perlindungan alam sekitar dan kesihatan rakyat.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara pengeksport bagi memastikan proses pemulangan dijalankan secara teratur, telus dan mengikut undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, pengimportan e-waste ke negara ini tidak dibenarkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Katanya, Malaysia merupakan negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Basel mengenai kawalan pergerakan rentas sempadan buangan berbahaya dan pelupusannya.

“Pengimportan e-waste di negara ini tidak dibenarkan. NRES melalui JAS tidak pernah memberi kelulusan atau membenarkan sebarang pengimportan e-waste sepanjang tempoh ini.

“Di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 memperuntukkan hukuman bagi sebarang penempatan buangan terjadual tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.

“Ia termasuk transit atau membenarkan e-waste masuk. Jika sabit kesalahan, pengimport boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM10 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN